Harian Metro

Peguam didakwa sapu RM400,000

-

Kuala Lumpur: Seorang peguam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang pembelian sebuah rumah di Selayang berjumlah lebih RM400,000 tahun lalu.

Mohd Haidar @ Hasmayuyud­in Mohd Hashim, 45, yang hadir ke mahkamah berkerusi roda bagaimanap­un mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sebagai seorang peguam di Tetuan Mohd Haidar & Co yang diamanahka­n wang tunai berjumlah RM402,500 iaitu wang baki penuh pembelian seperti di dalam perjanjian jual beli bertarikh 29 November 2015 melakukan pecah amanah menggunaka­n wang itu untuk kegunaan sendiri.

Wang itu daripada pasangan MS Loganathan dan isterinya V Ananthi untuk diberikan kepada Mohd Hazizi Saodi bagi penjualan rumah milik Mohd Hazizi.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Tetuan Mohd Haidar & Co, di Tower 3, Bangsar Avenue 3 Jalan Kerinchi, di sini, pada 8 September 2016.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Selain Mohd Haidar turut dituduh atas pertuduhan sama ialah rakan firma guamannya, Ahmad Ansor Muhd Rivai Batubara, 45. Bagaimanap­un lelaki itu tidak hadir ke mahkamah.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya S Malini Anne yang mewakili pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Mohd Haidar dan pada sama memohon mahkamah mengeluark­an waran tangkap ke atas tertuduh Ahmad Ansor.

Bagaimanap­un, Mohd Haidar yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan jaminan kepadanya dan berjanji tidak akan melarikan diri.

“Saya juga lumpuh akibat strok sejak Jun tahun lalu dan hampir 90 peratus hidup saya menjalani fisioterap­i di Melaka,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarka­n jaminan RM10,000 terhadap Mohd Haidar termasuk pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Dalam pada itu mahkamah turut mengeluar waran tangkap pada tertuduh Ahmad Ansor.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia