MIGHT jalin kerjasama laksana projek perintis inovasi teknologi
Kumpulan Industri Kerajaan Untuk Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) menjalin kerjasama dengan beberapa pihak berkepentingan bagi melaksanakan projek perintis membabitkan teknologi berpotensi menjadi disruptive technology atau inovasi teknologi pada masa depan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman berkata, ini termasuk kajian bagi menilai tahap perubahan teknologi baru kepada industri dan masyarakat selaras usaha kerajaan meneroka bidang Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).
“Cabang Industri 4.0 terlalu luas membabitkan
artificial intelligence
(kecerdasan buatan), genom dan Internet of Things (IoT) yang boleh dikategorikan sebagai mengganggu namun sebenarnya menjanjikan kebaikan kepada industri,” katanya pada Majlis Rumah
Terbuka MIGHT, di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, sebagaimana perkhidmatan Uber dan Grab yang mengubah landskap perkhidmatan teksi hari ini, kajian dijalankan terhadap IoT untuk mengenal pasti perubahan teknologi di masa akan datang.
“Kita melihat bagaimana IoT memberi impak kepada transaksi harian manusia membabitkan kewangan atau bukan kewangan,” katanya.
Menurutnya, MIGHT terbabit dalam perbincangan dengan kerajaan mengenai keperluan pelarasan polisi dan undang-undang bersesuaian dengan pembangunan teknologi.
“Malah, kita sepatutnya menyediakan kelompok muda berkemahiran menggunakan teknologi bagi menghasilkan produk dan servis baru kepada masyarakat,” katanya.