Harian Metro

Yakin anak buah menyinar

-

Sepang: Ketua jurulatih paralimpik negara R Jeganathan percaya dua atletnya Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly akan menyinar sekali gus memenangi pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) bulan depan.

Keyakinan Jeganathan itu selepas menyaksika­n prestasi semasa kedua-dua atlet itu pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London.

“Bagi saya mereka mampu mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu memenangi pingat.

“Sebab berdasarka­n pengalaman yang sudah diperoleh mereka berdua dalam pelbagai kejohanan besar termasuk Kejohanan Dunia, saya fikir kedua-duanya mampu menjadi pencabar di Sukan SEA,” katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Jelas Jeganathan, selain Sukan SEA, banyak lagi perancanga­n serta sasaran yang sudah diatur untuk barisan atletnya.

“Sekarang semua orang melihat atlet paralimpik dari sudut berbeza dan mereka semakin mengharapk­an sesuatu yang lebih baik mampu dicapai,” katanya.

Di London, Ziyad memenangi acara lontar peluru T20 (masalah pembelajar­an) dengan melakar rekod dunia sejauh 17.29 meter manakala Abdul Latif melakar rekod kejohanan dalam acara lompat jauh T20 dengan jarak 7.37m.

Emas Sukan SEA 2015 dalam acara lontar peluru dimenangi atlet Thailand Promrob Juntima dengan jarak 17.47m disusuli rakan senegara Chatchanal Polyiam 17.05m manakala gangsa milik atlet negara Adi Alifuddin Hussin.

Selain Sukan SEA bulan depan, Ziyad dan Latif turut menjadi sandaran untuk meraih emas pada Sukan Para ASEAN September depan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia