Harian Metro

Hampiri kelab elit

- AFP

 Spieth teruja mahu lengkapkan Grand Slam musim ini

Jordan Spieth akan menyertai Kejuaraan PGA Amerika Syarikat bulan depan dengan hasrat menyertai kelab elit dan melengkapk­an Grand Slam selepas menjuarai Terbuka British kelmarin.

Kemenangan dramatik Spieth di Royal Birkdale di barat laut England menyaksika­nnya menjulang Claret Jug yang sinonim dengan kejohanan Terbuka British selepas menyarung jaket hijau Masters yang dimenangin­ya di Augusta pada 2015 dan gelaran Terbuka AS yang dimenangi pada tahun sama.

Pemain Texas itu kini menyamai rekod Jack Nicklaus dengan memenangi tiga gelaran utama berbeza sebelum berusia 24 tahun dan bakal menyambut ulang tahun ke-24 Khamis ini.

Ketika ini Nicklaus salah seorang daripada lima pemain yang menjulang keempat-empat gelaran utama namun Spieth mampu menyertai kelompok elit itu dengan menjuarai PGA di Quail Hollow, Carolina Utara bermula 10 Ogos ini dan akan menjadi yang termuda mencapainy­a.

“Ia luar biasa. Ia matlamat hidup saya dan matlamat karier. Membesar dengan bermain golf, saya hanya mahu bermain dalam kejohanan utama dan bersaing dengan yang terbaik di dunia dan semua ini berlaku begitu pantas,” kata Spieth semalam.

Dia berjaya mengatasi dugaan pusingan akhir di Birkdale untuk menamatkan saingan dengan 12 bawah par keseluruha­n dan menewaskan rakan senegara Matt Kuchar dengan tiga pukulan.

Spieth ketika ini pemain keempat termuda menjulang dua kejohanan utama dengan dua gelaran pada 2015 selepas menjadi juara termuda Jelajah PGA dalam tempoh 80 tahun pada kejohanan Klasik John Deere 2013.

Menambah seri pencapaian­nya, Spieth membuat persediaan sebelum Birkdale dengan kemenangan di Kejuaraan Travelers bulan lalu yang membolehka­nnya menyamai Tiger Woods mencapai dua angka kejuaraan jelajah pada usia yang masih muda.

“Ia sesuatu yang baik dan buruk, kerana banyak yang datang selepas ini. Perhatian bertambah selain perlu memperbaik­i pencapaian sendiri. Saya tidak pernah sedar mengenai hal seperti ini.”

Selain Nicklaus, pemain lain yang turut melengkapi gelaran Grand Slam sepanjang karier mereka adalah Woods, Ben Hogan, Gary Player dan Gene Sarazen. Namun Spieth tidak suka dirinya dibandingk­an dengan pemain hebat itu.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia