Harian Metro

Sahut cabaran, suka kerja luar

Ahli keluarga dan suami terkejut dengan kerjaya lasak diminati Nurul Ain

- DARI MUKA 15

Sebelum bergelar posnita, Nurul Ain berkata, dia bekerja sebagai kerani di syarikat pembekal barangan telco. Walaupun selesa dalam ruang pejabat, wanita ini nekad mencuba nasib di PosLaju Malaysia.

“Kebetulan ada iklan jawatan kosong, jadi saya cuba menghantar resume. Ketika dipanggil temu duga, saya diberitahu posnita bukanlah kerani, tetapi perlu keluar membuat serahan setiap hari.

“Saya tidak terkejut langsung kerana memang sukakan kerja luar yang lasak. Jadi, apabila sampai di rumah, saya berkongsi cerita dengan suami, Mohamad Saiful Mohd Radzi (34). Antara pertanyaan yang keluar dari mulut suami, ‘boleh ke buat?’. Dia bertanya sambil ketawa!

“Bersungguh-sungguh saya katakan kepadanya boleh dan saya suka. Saya mahu mengambil setiap yang sukar itu sebagai cabaran dan pastikan mereka yakin dengan kerjaya ini,” katanya.

Mungkin sudah tersurat rezeki buatnya, Nurul Ain dipanggil melapor diri selepas dua minggu temu duga bagi jawatan posnita secara kontrak selama tiga bulan. Sepanjang tempoh itu, wanita ini memberikan perkhidmat­an terbaik. Nama lorong, jalan, tempat serahan dan pejabat mula melekat dalam kepala satu per satu.

“Memandangk­an saya sudah biasa menunggang motosikal sekitar Ipoh, jadi soal mengenal alamat dan tempat serahan bukan lagi masalah besar. Tamat tempoh kontrak, saya kembali menganggur.

“Alhamdulil­lah, ternyata rezeki Allah SWT tidak pernah salah alamat. Selepas dua bulan, saya akhirnya ditawarkan jawatan tetap sebagai posnita PosLaju. Itupun saya terpaksa bermula lewat kerana dijangkiti cacar air,” katanya.

KELUARGA TERKEJUT

Kata Nurul Ain, walaupun masih samar dengan reaksi keluarga, peluang yang datang tetap disambut dengan penuh semangat dan rasa syukur.

“Apabila tahu saja dapat jawatan, saya terus bersemanga­t untuk mula bekerja. Saya memang sukakan cabaran. Saya nekad mahu mencabar kemampuan diri dalam ruang kerjaya yang dimonopoli kaum lelaki. Paling utama, saya sukakan kerja lasak.

“Begitupun, apabila berita ini sampai kepada emak dan ayah, mereka langsung tidak percaya. Berkali-kali mereka minta kepastian. Betul ke...soal emak. Emak juga ketawa, katanya, tidak ada orang perempuan kerja hantar surat. Hampir dua bulan jugalah emak ayah mengambil masa untuk benar-benar percaya.

“Sekalipun mereka sudah percaya, tetapi emak ayah tetap tidak yakin saya mampu jadi posnita. Suami juga begitu. Namun anehnya, semakin kerap ditanya, semakin bersemanga­t pula saya bekerja untuk membuktika­n kemampuan diri kepada mereka.

“Berlainan halnya dengan kawan. Ada yang mula percaya dengan pilihan saya, tapi tidak kurang juga yang memandang rendah dengan pertanyaan sinis seolah-olah kerjaya posnita tidak punya masa depan cerah. Begitupun, saya tetap gembira kerana dapat menyampaik­an amanah orang dan mempermuda­hkan urusan pelanggan. Jika bekerja di pejabat, saya mungkin terpaksa berdepan tekanan dan suasana yang kurang menyenangk­an,” katanya optimis.

KUTIP PENGALAMAN

Pernah beberapa kali membuat serahan di rumah pelanggan, Nurul Ain menerima banyak reaksi positif daripada penerima bungkusan. Rata-rata mengakui terkejut kerana peranan posmen sudah berganti posnita.

“Ada kes pelanggan tidak dengar walau dipanggil berkali-kali kerana sibuk memasak di dapur. Berikutan itu, saya terpaksa menunggu hampir 10 minit di luar. Sedang saya sibuk menulis notis serahan, tiba-tiba seorang wanita separuh umur keluar.

“Terkejutny­a bukan kepalang. Banyak kali dia meminta maaf sebab leka memasak, sampaikan saya turut dipelawa untuk menjamah makan tengah hari bersama. Pelawaan itu saya tolak secara baik kerana masih banyak barang yang perlu dihantar.

“Selain itu, saya juga pernah dikejar anjing ketika mencari alamat penerima. Spontan saya memecut laju motosikal untuk menyelamat­kan diri. Apabila keadaan kembali tenang, terpaksa saya berpatah balik perlahan-lahan untuk membuat serahan,” katanya yang sudah memiliki Lesen Pengangkut­an Barang (GDL) sejak tahun lalu.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ?? 2
2

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia