Harian Metro

Peguam nafi songlap RM402,500

-

Seorang peguam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas pertuduhan melakukan pecah amanah membabitka­n wang RM402,500 ketika urusan jual beli rumah teres dua tingkat milik pasangan suami isteri.

Tertuduh, Ahmad Ansor Muhd Rivai Batubara, 45, bagaimanap­un mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syed Faisal Syed Amir.

Ahmad Ansor didakwa sebagai peguam di Tetuan Mohd Haidar & Co yang diamanahka­n wang tunai berjumlah RM402,500 iaitu baki penuh pembelian seperti di dalam perjanjian jual beli bertarikh 29 November 2015 melakukan pecah amanah wang itu untuk kegunaan sendiri.

Wang itu adalah milik

M S Loganathan dan V Ananthi yang sepatutnya diberikan kepada Mohd Hazizi Saodi bagi penjualan hartanah (rumah).

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Tetuan Mohd Haidar & Co di Tower 3, Bangsar Avanue 3 Jalan Kerinchi, di sini, pada 8 September 2016.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafizah Rajuni, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarka­n tertuduh diikat jamin RM10,000 dan memerintah­kan pasport diserahkan.

Mahkamah juga menetapkan 22 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Kelmarin, mahkamah yang sama mengeluark­an waran tangkap terhadap tertuduh selepas gagal hadir untuk mendengar pertuduhan yang dikenakan terhadapny­a.

Ditanya kegagalann­ya untuk hadir kelmarin, tertuduh mendakwa tidak sihat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia