Harian Metro

Bawa lari anak gadis orang

- Ibrahim Isa ibrahim_isa@hmetro.com.my

 Lelaki dipenjara empat tahun selepas mengaku salah larikan remaja perempuan

Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara empat tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, dekat sini, kelmarin, atas tuduhan cuba melarikan seorang remaja perempuan.

Shanizam Samsudin, 34, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik atau melarikan remaja bawah umur tanpa keizinan penjaga sah yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Tertuduh didakwa melarikan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun pada jam 8.45 malam, 20 Julai lalu di depan sebuah kedai runcit di Simpang 3, Bukit Samsu, Kota Tinggi.

Dalam kejadian itu, tertuduh menarik mangsa ke dalam Perodua Myvi dipandunya sebelum cuba melarikan remaja terbabit.

Bagaimanap­un tindakan berani mangsa melarikan diri dengan membuka pintu kereta tertuduh yang masih belum dikunci dan melompat keluar dari kenderaan berkenaan menyelamat­kannya daripada menjadi mangsa culik.

Akibat tindakan berani itu, mangsa cedera pada tangan, kaki dan badan akibat jatuh di atas jalan raya namun tertuduh yang panik melihat mangsa melarikan diri gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan merempuh pokok.

Tertuduh kemudianny­a ditahan orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Tertuduh yang mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Azlin Zeti Zainal Abidin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superinten­dan Ahsmon Bajah berkata, kejayaan memberkas suspek hasil kerjasama orang ramai dan keberanian mangsa yang melarikan diri daripada diculik.

Menurutnya, orang ramai terutama ibu bapa perlu lebih berhati-hati dan memastikan anak mereka hanya keluar rumah bersama penjaga bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia