Harian Metro

Sebungkus nasi lemak pengalas perut

-

Johor Bahru: Kesempitan wang serta tidak mampu bekerja menyebabka­n sepasang suami isteri warga emas sekadar berkongsi sebungkus nasi lemak pada waktu tengah hari dan mengalas perut dengan roti canai pada waktu malam.

Kehidupan Sa’adon Dora, 73, dan isteri, Jemah Wail, 65, yang tinggal di Jalan Kupang, Kampung Skudai Kiri, di sini, berdepan kesukaran berikutan tiada punca pendapatan.

Sa’adon berkata, dia dan isteri hanya bergantung kepada bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi menampung perbelanja­an harian.

Menurutnya, sebahagian daripada wang bantuan warga emas itu digunakan bagi pembelian lampin pakai buang bagi isterinya yang juga pesakit gout kronik.

Katanya, mereka memiliki lima anak berusia 20 hingga 30-an termasuk dua anak lelaki, tetapi masing-masing mempunyai kehidupan dan keluarga sendiri yang turut bergeluman­g dengan kesempitan hidup.

“Seorang daripada anak kami membantu membayar bil elektrik manakala yang lain hanya memberi sumbangan secara tidak tetap kerana mereka bukan orang senang,” katanya.

Sa’adon berkata, berikutan keadaan isterinya yang sukar bergerak kerana tongkat manakala dia pula menghidap kencing manis dan darah tinggi, mereka tidak mampu bekerja.

Katanya, dengan hasil mengutip botol, tin dan besi buruk, dia memperuntu­kkan RM6 hingga RM8 sehari untuk perbelanja­an makan dan minum kerana perlu berjimat cermat.

Menurutnya, mereka juga terpaksa tinggal di rumah usang di kawasan setinggan itu kerana tidak mampu membaik pulihnya memandangk­an ia memerlukan kos yang agak besar.

“Apabila hujan, rumah basah kerana bumbung bocor di sana sini. Tetapi apakan daya, sekurang-kurangnya kami masih ada tempat berteduh walaupun sudah usang,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Majlis Agama Islam Johor ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengadakan lawatan bagi meninjau keadaan sebenar.

Katanya, hasil tinjauan itu, pihaknya mengambil kira keperluan keluarga itu untuk disalurkan bentuk bantuan sewajarnya.

 ?? Sa’adon ?? SA’ADON bersama isteri di rumah usang mereka di Jalan Kupang, Kampung Skudai Kiri (gambar bawah). Apabila hujan, rumah basah kerana bumbung bocor di sana sini”
Sa’adon SA’ADON bersama isteri di rumah usang mereka di Jalan Kupang, Kampung Skudai Kiri (gambar bawah). Apabila hujan, rumah basah kerana bumbung bocor di sana sini”
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia