Harian Metro

MENDY BERNILAI RM290 JUTA

- AFP

 Bintang baru City jadi pemain pertahanan termahal dunia selepas perpindaha­n dari Marseille

London

Pertahanan AS Monaco, Benjamin Mendy mengikat kontrak mega lima tahun bersama Manchester City kelmarin yang menjadikan­nya sebagai pemain pertahanan paling mahal di dunia.

Pemain berusia 23 tahun itu, yang menyertai kelab juara Perancis itu dari Marseille pada musim panas lalu, bersetuju dengan perjanjian yang dilaporkan bernilai £52 juta (RM290 juta), satu rekod buat pemain pertahanan.

Pemain Perancis itu akan menyertai rakan sepasukan barunya di Amerika Syarikat yang mana skuad kendalian Pep Guardiola bersiap sedia bagi perlawanan jelajah pramusim kedua menentang Real Madrid di Los Angeles.

“Saya amat teruja menyertai Manchester City,” kata Mendy. “Mereka satu daripada kelab ternama Eropah dan dengan Pep Guardiola mereka mempunyai seorang pengurus yang komited dengan corak bola sepak menyerang.

“Saya amat yakin dalam tempoh beberapa tahun akan datang kami akan berjaya.”

Pemain Tottenham, Kyle Walker dan penjaga gol Ederson antara pemain yang turut menyertai benteng pertahanan berwajah baru City dengan rakan sepasukan Mendy di Monaco, Bernardo Silva memperkuat­kan jentera tengah.

Guardiola terdesak untuk menokok Mendy dalam senarai pilihan pertahanan­nya sesudah melepaskan Gael Clichy, Bacary Sagna dan Pablo Zabaleta pada musim panas ini, namun tawaran asal City £44.5 juta (RM248 juta) ditolak. Perjanjian itu mengambil masa sedikit sebelum dilengkapk­an namun pengarah bola sepak City, Txiki Begiristai­n, berpuas hati mendapatka­n pemain sasaran utama mereka.

“Benjamin mempunyai semua kualiti yang kami perlukan di benteng pertahanan. Bagi seorang pemain muda, dia mempunyai pengalaman luas,” katanya.

“Tidak diragui dia antara pertahanan terbaik di dunia, sasaran nombor satu kami di posisi ini. Kami gembira akhirnya berjaya membawanya ke Manchester City. Saya yakin dia akan menjadi tambahan fantastik dalam skuad.”

Mendy muncul pembelian utama kelima City pada musim panas ini yang menyaksika­n mereka berbelanja lebih £200 juta (RM1.1 bilion).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia