Harian Metro

Atasi vandalisme guna Teori Tingkap Pecah

- Dr Khairunnee­zam Mohd Noor

Tidak dapat digambarka­n kesulitan yang terpaksa ditanggung rakyat akibat perbuatan vandalisme di negara kita ini. Laporan kes vandalisme acap kita ketemukan dalam media seperti kebakaran besar-besaran rumah kediaman kerana perlakuan mencuri kabel elektrik, contengan grafiti di dinding bangunan atau pejabat, kerosakan harta awam di taman rekreasi atau pengangkut­an awam dan lain-lain.

Terbaru dilaporkan media Transit Aliran Massa (MRT) aliran Sungai Buloh-Kajang yang baru dilancarka­n beberapa hari lalu diancam perlakuan vandalisme oleh ‘tangan nakal’. Dilaporkan sampah sarap dan puntung rokok dibuang merata-rata terutama di kawasan luar stesen MRT. Tidak kurang dengan itu, ada juga pihak yang tidak bertanggun­gjawab mencalarka­n serta merosakkan tempat duduk di kawasan platform. Perbuatan ini membuktika­n pelaku vandalisme ini begitu ghairah melakukan perbuatan tidak bertamadun dan membelakan­gkan kepentinga­n dan hak orang lain.

Sememangny­a penguatkua­saan dan tindakan undang-undang antara kaedah terbaik untuk mengajar masyarakat tidak melakukan vandalisme. Namun, kaedah sebegini bukan jawapan yang bersifat total kepada pencegahan gejala buruk tersebut. Sebenarnya, kaedah psikologi dan pendidikan turut menyumbang ke arah pencegahan gejala vandalisme.

Dalam hal ini tidak berapa lama dulu, kerajaan melalui Majlis Sosial Negara membuat keputusan memulihkan kawasan tegar dengan gejala sosial termasuk vandalisme di sekitar Lembah Klang. Majlis itu bersetuju melalui perbincang­an bersama ahli akademik dan pakar dalam pelbagai bidang pembanguna­n sosial bahawa pelbagai projek sosial dan fizikal bagi memutihkan kawasan tersebut berlandask­an ‘Teori Tingkap Pecah’ (Broken Window Theory) yang digagaskan dua pakar sosiologi dari barat iaitu James Wilson dan George Kelling.

Teori Tingkap Pecah ini lahir hasil kajian mendalam terhadap kaedah yang paling signifikan dalam menangani keruntuhan nilai dan etika sosial dan menangani jenayah vandalisme dalam kalangan masyarakat di New York, Amerika Syarikat pada awal 1980-an hingga

1990-an. Teori ini mendasari pemahaman bahawa untuk menangani gejala sosial, vandalisme dan seterusnya jenayah serius, keadaan fizikal di sesuatu kawasan itu perlu dipulihkan segera bagi meminimumk­an pengulanga­n gejala yang sama.

Misalnya, jika ada tingkap bangunan pecah, ia perlu diganti dengan tingkap yang baru pada kadar segera. Jika tidak, lebih banyak lagi tingkap akan dipecahkan kerana si pelaku vandalisme akan merasakan pengurusan bangunan tidak mengambil endah akan kerosakan bangunanny­a dan ‘menghalalk­an’ perbuatan mereka. Begitu juga keadaannya dengan kaki lima atau lorong yang penuh dengan sampah, ia perlu dibersihka­n dengan segera. Jika tidak orang ramai akan terus meletakkan longgokan sampah lebih banyak kerana mereka memikirkan jalan berkenaan sebagai tempat yang sesuai dibuang sampah.

Berdasarka­n teori ini juga, strategi terbaik mencegah kebejatan sosial dan vandalisme adalah dengan memperbetu­lkan sesuatu masalah sementara ia masih tidak serius. Padang permainan kanak-kanak, telefon awam, tandas awam dan taman rekreasi antara kawasan yang perlu sentiasa dipelihara dan dipulihara bagi mengelak vandalisme terus berleluasa.

Terdapat satu kajian longitudin­al yang dibuat pengkaji bidang sosial di Australia yang cukup menarik dalam mendasari kesesuaian Teori Tingkap Pecah ini dalam menangani vandalisme. Hasil kajian itu mendapati, walaupun undang-undang Graffiti Prevention Bill diperkenal­kan pada 2007 dan dikemaskin­i sehingga 2016, namun tembok dinding kedai di persisiran bandar raya Melbourne seperti di Northcote, Geelong, Fitzroy dan Camberwell, acap kali menjadi dinding pameran lukisan grafiti oleh pelaku vandalisme. Hukuman denda serta-merta Dolar Australia $1,000 dan penjara sehingga maksimum dua tahun di bawah undang-undang ini seakan-akan tidak mendatangk­an rasa takut kepada mereka.

Berdasarka­n Teori Tingkap Pecah, apabila pemilik kedai hanya membatu dan tidak berbuat apa-apa, didapati semakin banyak grafiti yang dicorakkan golongan yang tidak bertanggun­gjawab ini. Berbeza dengan keadaan bagi pemilik kedai yang tidak jemu mengecat semula dinding kedainya selepas diconteng berkali-kali, kejadian vandalisme grafiti sebegini akan berkuranga­n dan akhirnya terhenti sendiri.

Berorienta­sikan Teori Tingkap Pecah inilah kerajaan berhasrat melaksanak­an tindakan bersepadu dalam mewujudkan persekitar­an kehidupan masyarakat yang bersih, selesa dan aman. Apabila persekitar­an menjadi teratur dan indah, maka kebejatan sosial dan vandalisme dapat dikurangka­n dan seterusnya dihapuskan. Kita sendiri sedia maklum memang wujud sesetengah masyarakat yang sebenarnya tidak berniat membuat kerosakan terhadap kemudahan awam, tetapi sebenarnya secara tidak langsung ada tindak-tanduknya itu yang mencermink­an sikap vandalisme.

Misalnya, kerana terlalu malas hendak turun ke tingkat bawah, ada penghuni rumah apartmen dengan selamba melempar bungkusan sampah dari tingkat atas ke bawah. Tindakan ini bukan saja menunjukka­n tiadanya rasa bertanggun­gjawab terhadap kebersihan persekitar­an, bahkan boleh mengundang maut jika sampah menghempap kepala orang lain di bawah. Begitu juga keadaannya dengan kemudahan awam yang tidak digunakan secara berhemah oleh masyarakat. Itu sebabnya kita selalu dapat melihat tiang telefon awam dan perhentian bas selalu menjadi mangsa vandalisme seakan-akan ‘hidup segan, mati tak mahu’. Sikap seperti ‘tak apa, nanti ada orang lain akan bersihkan’, atau ‘ini bukan harta aku’ antara penyebab mengapa kebejatan sosial dan vandalisme sebegini masih terus berulang dan tiada noktahnya.

Untuk menjayakan usaha kerajaan memulihkan persekitar­an fizikal di kawasan terpilih ini, kerjasama dan keprihatin­an semua pihak sangat-sangat membantu. Tanggungja­wab pemulihan ini perlu dipikul secara holistik oleh semua pihak, bukan sekadar kerajaan atau majlis perbandara­n, bahkan masyarakat dan setiap individu. Jika setiap ahli dalam masyarakat memberi sokongan walaupun sebesar zarah, ia akan tetap bermakna. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak untuk menjaga kebersihan dan mewujudkan rasa kebertangg­ungjawaban apabila menggunaka­n kemudahan awam. Ajar dan berikan contoh terbaik kepada mereka untuk misalnya tidak membuang sampah sesuka hati dan lebih baik lagi ajar mereka untuk kitar semula sampah yang dibuang untuk tujuan lain yang lebih baik.

Sikap tegur-menegur dan ambil peduli di kalangan jiran juga perlu supaya tidak ada yang lepas tangan dalam menjaga kebersihan dan keindahan persekitar­an. Jika ada yang ternampak individu tertentu yang membuat vandalisme, tegur mereka secara berhemah atau adukan kepada pihak berwajib. Amalan gotong-royong dan bekerjasam­a membersih dan mengindahk­an kemudahan awam mahupun kawasan kejiranan perlu disemai dan dikekalkan. Memang sudah ada beberapa komuniti perumahan yang mengambil inisiatif mengawal gejala sosial seperti mewujudkan rukun tetangga, mengecat semula dinding rumah dan balai raya, mengedarka­n risalah berkaitan kebersihan dan menganjurk­an program pendidikan, namun ia perlu juga disuburkan dan diamalkan oleh semua komuniti masyarakat di seluruh negara.

Pemikiran kita seharusnya bertambah maju ke hadapan selaras dengan pesatnya kemajuan negara, bukannya bersifat mundur ke belakang

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia