Harian Metro

Ditahan ceroboh rumah

-

Jitra: Tindakan enam lelaki berusia 20 hingga 30 tahun berlagak ala samseng selepas menceroboh dan merusuh di sebuah rumah di Padang Sera, Kodiang, di sini, Ahad lalu mengundang padah apabila mereka ditahan polis, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superinten­dan Mohd Ismail Ibrahim berkata, penahanan mereka susulan laporan polis dibuat pemilik berusia 46 tahun selepas rumahnya diceroboh dan mereka sekeluarga dipukul sekumpulan lelaki jam 9.30 malam Ahad lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, mereka yang berada di rumah terkejut apabila didatangi 23 lelaki menaiki lima kereta dan memegang batang besi.

“Suspek kemudian memberitah­u ingin mencari anak saudara mangsa berusia 16 tahun sebelum 12 lelaki terus masuk ke dalam rumah menyebabka­n dia bersama seorang lagi adik lelakinya, 38, cuba menghalang namun ditolak sebelum dipukul dengan kerusi plastik selain mengugut mereka memiliki pistol.

“Suspek turut menendang pintu bilik dan memukul ibu serta anak saudaranya dengan kerusi plastik sebelum mereka beredar,” katanya.

Mohd Ismail berkata, akibat kejadian itu, keluarga terbabit mengalami kecederaan di mana anak saudara mangsa lebam di hidung, tangan kanan, bahu kiri dan pipi, manakala ibunya lebam tangan kiri sementara dia serta adiknya cedera ringan.

“Siasatan mendapati anak saudaranya mengenali beberapa suspek yang juga kenalannya, manakala sekumpulan lelaki lain tidak dikenali.

“Kami masih menyiasat punca kejadian keluarga terbabit diserang kerana mangsa tidak mengetahui motif sebenar mereka diserang,” katanya.

Beliau berkata, susulan laporan itu, polis mengesan suspek dan menahan enam lelaki yang terbabit dalam kejadian itu.

“Ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah dan suspek direman sehingga 5 Ogos ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia