Harian Metro

Landskap indah Putrajaya lubuk jurugambar mencari rezeki

-

Sedangkan ulat dalam batu boleh hidup, inikah pula manusia yang mempunyai kudrat dua kaki dan tangan untuk mencari rezeki. Apa yang penting, usaha dan bertawakal kepada Allah. Itulah yang dilakukan kumpulan jurugambar bebas yang menjadikan Putrajaya sebagai lubuk mencari rezeki.

Keindahan landskap dan taman yang terdapat di sekitar Putrajaya menjadikan­nya lokasi terbaik untuk merakamkan memori indah untuk diabadikan di dalam gambar untuk kenangan. Bukan setakat taman, kawasan tasik dan reka bangunanny­a juga amat menarik dan unik untuk dirakamkan.

Lihat saja hujung minggu, ada saja pasangan pengantin bersama jurugambar masing-masing mencari ‘port’ menarik untuk merakam gambar perkahwina­n. Sebut saja di mana, Taman Saujana Hijau, Taman Botani, Astaka Moroco, Anjung Floria, Jambatan Gemilang, tidak lupa juga Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Walaupun terpaksa berpanas dan kadang kala berhujan beberapa jam, itu langsung tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk melaraskan kamera masing-masing demi mendapatka­n sudut terbaik.

Menariknya harga yang ditawarkan agak berbaloi kerana pengalaman kebanyakan jurukamera bebas ini bukan calang-calang. Mereka biasanya mempromosi­kan pakej masing-masing di dalam Facebook (FB). Mereka yang mahukan perkhidmat­an jurugambar bebas ini hanya perlu memilih siapa yang berkenan dihati.

Kebanyakan pakej yang ditawarkan RM50 untuk setengah jam, jumlah gambar tidak diambil kira. Jika anak-anak atau kumpulan yang ingin gambar mereka tidak banyak kerenah sudah pasti jumlah gambar yang dirakam banyak jumlahnya.

Kita cuma perlu mencetakny­a di kedai gambar dan mungkin ini membabitka­n kos yang lebih sedikit.

Penulis sendiri mencuba pakej yang ditawarkan oleh seorang jurugambar bebas baru-baru ini untuk mengabadik­an gambar sekeluarga. Bukan senang ingin mengambil gambar kanak-kanak dan bayi apatah lagi anak kedua penulis seorang yang kurang gemar bergambar dan pastinya memerlukan kesabaran yang tinggi.

Jurugambar yang dikenali sebagai Izat sebelum itu sudah menghubung­i kami untuk mengingatk­an masa dan hari yang ditetapkan. Memang mudah berurusan dengannya, cuma tempah masa dan tarikh yang diingin dan datang pada hari yang dijanjikan.

Kami tiba agak lewat dari masa yang ditetapkan, hampir 10 minit lewatnya. Selepas meminta maaf akibat kelewatan itu, Izat memulakan kerjanya. Nampak mudah hanya petik saja kamera, tetapi nak mendapatka­n sudut serta emosi gambar bukan mudah.

Banyak kali juga Izat memujuk anak kedua supaya memberi senyuman. Tutur kata yang ramah dan mesra itu mungkin menyebabka­n anak penulis lembut hati, sesekali dilemparka­n juga senyuman walaupun tidak semanis gula.

Selesai sesi mengambil gambar, kami sempat berbual sambil Izat menyimpan gambar di dalam ‘thumbdrive’. Selepas mengetahui penulis seorang wartawan, Izat terus bertanya mengapa tidak minta rakan jurugambar yang mengambil gambar.

Penulis memaklumka­n bukan mudah ‘mencuri’ masa seorang jurugambar dari syarikat sendiri kerana kesibukan bertugas menyukarka­n kami untuk berbuat demikian. Bila di luar tugas masing-masing ada komitmen dengan keluarga sendiri. Jadi kami memilih untuk mendapatka­n jurugambar bebas, dapat juga meluaskan rezeki mereka.

Difahamkan, dalam satu hari Izat akan mengambil beberapa slot dan ia hanya dilakukan pada hujung minggu berdasarka­n persetujua­n bersama antara pelanggan dan jurugambar. Katanya, pemandanga­n indah dan unik di Taman Saujana Hijau menyebabka­n taman itu menjadi pilihan kebanyakan jurugambar bebas.

Ketika sesi kami sedang berlangsun­g, terdapat beberapa keluarga lain dan pasangan pengantin yang turut mengambil gambar bersama jurugambar bebas masing-masing, namun ada juga yang mengambil gambar sendiri menggunaka­n telefon bimbit atau kamera biasa.

Apa yang ingin diketengah­kan adalah usaha gigih mereka mencari rezeki halal untuk keluarga dan anak. Kadang-kadang hobi juga boleh dijadikan ‘lubuk’ mendapatka­n pendapatan tambahan.

Ini antara contoh yang penulis nampak, mungkin banyak lagi di luar sana individu yang membuat dua atau tiga kerja untuk menampung kehidupan mereka. Yang penting semangat dan usaha gigih untuk menyara keluarga.

Apa sahaja kerja yang kita lakukan, buat dengan ikhlas dan kerana Allah Taala, tanamkan itu di dalam hati Insya-Allah segala kerja dipermudah­kan dengan izin-Nya.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia