Harian Metro

Anak lelaki ‘bolot’ harta

-

 Bapa bertindak pindah hak milik sebelum meninggal dunia

Bagaimana jika seorang bapa memindahka­n semua harta miliknya sebelum meninggal dunia kepada anak lelakinya?

Dalam hal ini adakah perlu anak lelaki itu membahagik­an pula harta kepada adik beradik lain atau dia berkuasa sepenuhnya ke atas semua harta itu sama ada mahu membahagik­annya atau tidak?

Ingin Tahu, Johor

Pindah milik dan tukar nama pemilikan sesuatu harta dari pemilik asal kepada pemilik baru memberi kesan kepada status harta berkenaan.

Sama ada harta itu dipindah milik kepada pemilik baru secara hadiah atau atas dasar kasih sayang tanpa mengharapk­an sebarang balasan.

Boleh jadi juga harta itu ditukar milik kepada pemilik baru sebagai pemegang amanah sahaja. Kedua-dua cara atau tujuan pindah milik itu memberi kesan berbeza khususnya kepada si pemilik yang baru.

Bagi pindah milik yang dilakukan atas dasar kasih sayang, lazimnya berlaku dalam kalangan ahli keluarga, sama ada ibu bapa kepada anak masing-masing, suami dan isteri atau sesiapa sahaja yang diingini oleh si pemilik asal harta.

Di dalam sistem pengurusan harta Islam, pindah milik atau pemberian seperti itu dinamakan sebagai hibah.

Hibah di sisi syarak adalah suatu akad yang mengandung­i pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (iwad).

Dari segi hukum, hibah adalah amalan sunat dan digalakkan dalam Islam terutama sekali kepada kaum keluarga terdekat.

Amalan itu adalah berdasarka­n kepada al-Quran, al-Sunnah dan ijmak.

Antara ayat al-Quran yang menggalakk­an amalan hibah ialah sebagaiman­a firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian jika mereka menyerahka­n kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya”.

Rukun hibah

(1) Pemberi hibah (al-Wahib)

Pemberi hibah hendaklah seorang yang berkeahlia­n seperti sempurna akal, baligh dan rusyd. Pemberi hibah mestilah tuan punya barang yang dihibahkan.

Oleh kerana pemilik harta mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya, hibah boleh dibuat tanpa had kadar serta kepada sesiapa yang disukainya termasuk kepada orang bukan Islam, asalkan maksudnya tidak melanggar hukum syarak.

(2) Penerima hibah (al-Mawhub lahu)

Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja asalkan dia mempunyai keupayaan memiliki harta sama ada mukallaf atau bukan mukallaf.

Sekiranya penerima hibah bukan mukallaf seperti masih belum akil baligh atau kurang upaya, hibah boleh diberikan kepada walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya.

Penerima hibah mestilah menerima harta yang dihibahkan dan berkuasa memegangny­a. Dengan kata lain, penguasaan dan kawalan terhadap harta mestilah diberikan kepada penerima hibah.

(3) Barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub)

Barang atau harta yang hendak dihibahkan itu perlu memenuhi syarat iaitu hendaklah barang atau harta yang halal.

Ia hendaklah sejenis barang atau harta mempunyai nilai di sisi syarak. Barang atau harta itu milik pemberi hibah dan boleh diserah milikkan dan benar-benar wujud semasa dihibahkan.

(4) Sighah iaitu ijab dan kabul

Sighah hibah adalah lafaz atau perbuatan membawa makna pemberian dan penerimaan hibah.

Di antara contoh lafaz ijab secara terang (sarih) ialah seperti kata pemberi “Aku berikan barang ini kepadamu” atau secara kinayah seperti kata pemberi “Aku menyerahka­n hak milik kepadamu” atau “Aku jadikan barang ini untukmu.”

Contoh lafaz qabul (penerimaan) pula ialah seperti “aku terima”, “aku reda” dan sebagainya.

Penerimaan barang (Al-Qabd) dalam hibah

Istilah al-Qabd (penerimaan barang) bermaksud mendapat sesuatu, menguasain­ya dan boleh melakukan tasarruf atau sebarang urusan dan transaksi terhadap barang atau harta berkenaan.

Dalam mazhab Syafie, al-Qabd adalah syarat luzum, ertinya akad hibah tidak sempurna dan tidak berkuat kuasa dengan ijab dan qabul semata-mata, kecuali selepas al-qabd.

Sekiranya al-Qabd tidak berlaku maka akad hibah adalah akad yang tidak mengikat.

Oleh itu, pemberi hibah berhak menarik balik hibah itu selama mana harta berkenaan berada dalam pemilikann­ya.

Cara penerimaan barang (al-Qabd) adalah berbeza-beza mengikut jenis harta sama ada harta tak alih atau harta alih.

Bagi harta tak alih, al-Qabd boleh berlaku dengan cara mengosongk­an harta itu, menguasain­ya dan melakukan tasarruf terhadap harta itu seperti menyerah kunci dan seumpamany­a.

Manakala bagi harta alih pula, al-Qabd boleh berlaku dengan cara mengambil harta itu, memindah atau mengasingk­an harta dengan harta lain.

Oleh itu, ia menjadi hak penuh pemilik baru. Sekiranya berlaku kematian kepada pemilik asal ia bukan lagi hartanya.

Malah harta yang ditinggalk­an selepas kematianny­a tidak menjadi harta pusaka yang perlu diagihkan kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Penulis ialah peguam syarie

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia