Harian Metro

Musang pulut, lotong cengkung

- Nor Azura Abdul Jalil zura_jalil@hmetro.com.my

 Wanita didenda RM40,000 simpan haiwan liar dilindungi

Seorang operator kilang didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas lima pertuduhan menyimpan pelbagai hidupan liar termasuk musang pulut, lotong cengkung dan kucing batu tanpa lesen, Mac lalu.

Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharuddi­n menjatuhka­n hukuman itu terhadap Intan Mazura Mohd Mokhtar, 36, selepas tertuduh mengaku salah sebaik saja semua pertuduhan dibacakan kepadanya.

Bagi pertuduhan pertama dan ketiga, tertuduh masing-masing didenda RM5,000 atau penjara enam bulan setiap satu sekiranya gagal bayar manakala bagi pertuduhan kedua, keempat dan kelima, wanita itu masing-masing didenda RM10,000 atau penjara 12 bulan setiap satu sekiranya gagal bayar.

“Mahkamah harap hukuman ini menjadi pengajaran kepada kamu dan masyarakat kerana hidupan liar ini perlu dilindungi,” nasihat Harmi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menyimpan masing-masing dua ekor musang pulut jantan dan seekor musang pulut betina tanpa lesen iaitu hidupan liar yang dilindungi mengikut Jadual Pertama, Akta Pemulihara­an Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Pertuduhan ketiga dan keempat pula, tertuduh didakwa menyimpan seekor lotong cekung jantan dan enam ekor lotong cekung betina tanpa lesen.

Bagi kesalahan menyimpan hidupan liar jantan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemulihara­an Hidupan Liar 2010 yang memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Kesalahan menyimpan hidupan liar betina pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 62 akta sama yang memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa menyimpan seekor kucing batu jantan tanpa permit khas dan didakwa mengikut Seksyen 66(1)(a) akta sama yang memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kediaman di Jalan Ampang Kiri, No 6, Desa Pasifik di sini pada jam 12.30 tengah hari, 26 Mac lalu.

 ??  ?? INTAN mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan menyimpan pelbagai hidupan liar.
INTAN mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan menyimpan pelbagai hidupan liar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia