Harian Metro

Seru carum Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia

-

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyeru mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal untuk mencarum dalam Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia bagi memastikan masa depan kewangan yang terjamin.

Naib Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Strategi, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias berkata, mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal ditakrifka­n sebagai sebahagian daripada ekonomi yang tidak dikenakan cukai atau dipantau kerajaan, tidak mempunyai sistem perlindung­an sesuai untuk persaraan berbanding mereka yang berada dalam sektor formal atau kerajaan.

“Golongan ini yang dikaitkan dengan ekonomi ‘gig’ meliputi mereka yang bekerja sendiri secara fleksibel atau sementara seperti perniagaan dalam talian, pemandu Grab atau Uber, kontraktor bebas atau pekerja bebas.

“Kita perlu memastikan mereka faham mengenai impak persaraan dan bagaimana untuk mempersiap­kan diri secepat mungkin. Kemampuan kewangan adalah faktor utama dan 70 peratus rakyat Malaysia berada di bawah paras global kadar celik kewangan yang boleh diterima,” katanya pada Persidanga­n Keselamata­n Sosial Antarabang­sa KWSP 2017, di sini, semalam.

Menurutnya, rakyat perlu mempunyai pengetahua­n kewangan diperlukan dan akan memberi mereka kuasa untuk mengurus pelaburan mereka.

“KWSP adalah sebahagian daripada pelaburan untuk persaraan mereka, kita perlu memastikan bahawa mereka dalam sektor ini akan melabur bukan saja dalam KWSP tetapi juga dalam skim persaraan swasta atau insurans,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira 10 peratus daripada jumlah tenaga kerja di Malaysia adalah pekerja kerajaan yang layak untuk skim pencen, dan 40 peratus berada dalam sektor formal, yang disediakan oleh KWSP, manakala 50 peratus tenaga kerja jatuh di bawah kategori sektor tidak rasmi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia