Harian Metro

Filipina masih berminat

-

Kuala Lumpur: Filipina masih berminat menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-30 pada 2019 walaupun laporan berita baru-baru ini mendakwa sukan dwitahunan tidak akan diadakan di negara itu susulan situasi bergolak di Mindanao, wilayah selatannya.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo berkata Jawatankua­sa Olimpik Filipina (POC) memaklumka­n mereka masih mengadakan rundingan dengan kerajaan mereka bagi membolehka­n temasya sukan itu diadakan pada 2019. Kali terakhir Filipina menjadi tuan rumah pada 2005.

“Secara lisan, POC menyatakan mereka masih berminat menjadi tuan rumah Sukan SEA (2019) tapi mereka pohon masa untuk berbincang dengan kerajaan mereka.

“Kita perlu faham kerana kerajaan mereka kini memberi tumpuan kepada keadaan bergolak di bandar Marawi (Mindanao) tapi mereka ada masa lagi malahan kami belum lagi menerima notis rasmi penarikan diri,” katanya.

Beng Choo berkata demikian selepas menjadi tetamu program ‘The Nation’ yang dihoskan pengacara Zaini Yuhyi di Wisma Bernama, di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau memaklumka­n senarai akhir atlet negara ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan diumumkan selepas mesyuarat pendaftara­n delegasi negara pada 10 Ogos ini.

Beliau turut mengesahka­n Malaysia akan mengambil bahagian dalam 397 daripada 404 acara dipertandi­ngkan kerana MOM berpendapa­t sesetengah atlet negara masih belum bersedia sepenuhnya untuk menyertai Sukan SEA kali ini.

Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar baru-baru ini dilaporkan berkata Malaysia akan menghantar kontinjen terbesar dengan 874 atlet manakala juara bertahan Sukan SEA, Thailand (858).

Dalam perkembang­an sama, Beng Choo mengesahka­n pembawa Jalur Gemilang dan juga pembawa obor terakhir yang akan menyalakan kawah pada upacara perasmian Sukan SEA 2017, dijangka diumumkan selepas berakhirny­a kem latihan pusat fasa akhir kontinjen negara di Hotel Renaissanc­e Kuala Lumpur pada 4-10 Ogos ini. - BERNAMA

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia