Harian Metro

Penternak haiwan potong balik setiap kali dibaiki

-

Kuantan: Ibarat sudah retak menanti belah. Itu perumpamaa­n sesuai menggambar­kan situasi terkini keadaan pagar keselamata­n yang dipasang pengendali Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad di sepanjang lebuh raya itu yang semakin ‘nazak’ angkara perbuatan tidak bertanggun­gjawab penduduk setempat.

Tinjauan Harian Metro baru-baru ini mendapati, ada pagar keselamata­n secara sengaja dipotong oleh individu dipercayai penternak haiwan bagi membolehka­n haiwan ternakan mereka seperti lembu dan kambing meragut rumput di kawasan tepi lebuh raya.

Tindakan itu bukan saja mengundang kerugian kepada ANIH Berhad malah turut mengancam nyawa pengguna lebuh raya apabila berisiko terbabit kemalangan dengan haiwan ternakan berkenaan terutama pada waktu malam.

Biarpun pelbagai langkah diambil pihak konsesi lebuh raya seperti memasang papan tanda amaran di beberapa lokasi, usaha itu ibarat mencurah air ke daun keladi apabila tindakan menceroboh dan merosakkan pagar keselamata­n masih berleluasa.

Tinjauan dilakuan di sekitar FELDA New Zealand di Kilometer (KM) 180, FELDA Bukit Goh KM 244.2, Kuan- tan KM 239 dan FELDA Panching KM 228 mendapati ada pagar keselamata­n yang dipasang daripada jenis dawai sengaja dipotong dan dirosakkan.

Tindakan itu bagi membolehka­n haiwan ternakan mereka merentasi pagar keselamata­n lebuh raya sekali gus meragut rumput di kawasan tepi jalan.

Malah, ketika tinjauan dilakukan ada beberapa tiang batu turut musnah dipercayai akibat dirempuh sekumpulan lembu yang merentasi pagar berkenaan.

Seorang petugas trafik ANIH Berhad yang enggan dikenali berkata, pihaknya sentiasa melakukan rondaan rutin setiap hari bagi mencari dan mengenal pasti kawasan pagar keselamata­n yang dirosakkan untuk diperbaiki.

“Pernah kami baik pulih hari ini, apabila kami ronda semula esok ia dirosakkan semula. Kami percaya ada pihak sengaja memotong pagar dawai itu pada waktu petang bagi membolehka­n haiwan ternakan meragut rumput pada waktu malam,” katanya.

Petugas itu berkata, pihaknya akan melakukan kerja baik pulih pagar yang rosak secara sementara sebelum kerosakan itu akan dinilai dan dibaik pulih secara kekal melalui kontraktor dilantik.

Harian Metro difahamkan, segala kerosakan pagar keselamata­n yang dilaporkan akan dibaiki segera oleh petugas trafik di sepanjang kawasan kendalian ANIH Berhad dari Plaza Tol Gombak hingga ke Jabor.

Sebelum ini, pernah berlaku kemalangan di KM230.3 pada 28 Disember tahun lalu berhampira­n kawasan rehat dan rawat (R&R) Kuantan dari arah Kuala Lumpur menyebabka­n seorang lelaki maut selepas mengelak bangkai lembu yang sebelum itu dilanggar kenderaan lain.

Kejadian itu dipercayai berlaku selepas dua lembu melintas laluan berkenaan melalui kawasan pagar ke- selamatan lebuh raya yang dirosakkan.

Bagaimanap­un, ketika tinjauan dilakukan ada beberapa lokasi pagar keselamata­n menunggu masa untuk runtuh disebabkan aktiviti mengorek tanah dipercayai bagi menggali hasil bahan mineral bauksit di sekitat Bukit Goh, di sini.

Pemerhatia­n dan pemeriksaa­n bersama wakil petugas trafik ANIH Berhad mendapati pagar dawai berkenaan menunggu masa untuk roboh disebabkan aktiviti mengorek tanah yang dilakukan terlalu hampir dengan kawasan pagar keselamata­n dipasang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia