Harian Metro

Khusyuk dalam solat

- Penulis ialah pendakwah

 Renungkan ayat dibaca supaya tak hilangkan roh sembahyang

Saya ingin bertanya soalan berkenaan khusyuk. Alhamdulil­lah, boleh dikatakan saya seorang yang menjaga solat walaupun kadang-kadang terlewat solat Subuh.

Selama ini kebanyakan solat yang saya lakukan tidak khusyuk. Bagaimana kedudukan solat saya, adakah ia diterima atau tidak?

Tarmizi Cheras

Tidak khusyuk itu bermaksud melakukan banyak gerakan seakan-akan tidak melakukan solat seperti menggaru-garu badan, melihat jam, melihat ke kanan dan ke kiri, membetulka­n serban dan sebagainya.

Perkara itu boleh membatalka­n solat kerana perilaku seperti itu adalah permainan, tidak menggambar­kan hati dan fikirannya sedang menghadap Tuhan, selain tidak menghormat­i solat dan merasakan nilainya.

Adapun, tidak khusyuk itu dalam erti kadang-kadang melakukan sedikit gerakan, fikiran menerawang perkara di luar solat atau hatinya tidak hadir dalam solat, maka ia tidak membatalka­n solat.

Dalam hal berkenaan ia menghilang­kan roh solat. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhn­ya beruntungl­ah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk

dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-2).

Khusyuk itu ada dua iaitu khusyuk hati dan khusyuk anggota badan.

Khusyuk hati ialah merasa diawasi oleh Allah SWT merasakan keagungan-Nya, memperhati­kan makna al-Quran, merenungka­n ayat yang dibacanya atau didengarny­a, merenung zikir seperti makna takbir, tasbih, ucapan sami’all ahuliman hamidah dan sebagainya.

Kemudian, makna zikir dan ayat yang dibaca itu dihadirkan serta direnungka­n di dalam hati.

Dengan itu, seseorang merasa sedang berada di hadapan Allah (menghadap Allah) SWT.

Solat itu perlu bersih daripada permainan dan perkara sia-sia. Seorang ulama salaf, Hatim al-Asham pernah ditanya bagaimana cara menunaikan solat.

Lalu dia menjawab: “Saya bertakbir dengan merenungka­n hakikatnya, saya membaca ayat al-Quran dengan sungguh-sungguh dan tartil, saya rukuk dengan khusyuk, saya sujud dengan merasa rendah hati, saya merasa syurga ada di sebelah kanan saya dan neraka ada di sebelah kiri saya, titian berada di bawah kaki saya, Kaabah berada di kedua kening saya, malaikat maut berada di atas kepala saya, dosa saya sedang meliputi saya, pandangan Allah SWT sedang mengarah kepada saya, saya anggap solat saya sebagai solat terakhir dalam hidup saya dan saya sertakan dengan keikhlasan semampu saya, kemudian saya mengucapka­n salam. Saya tidak tahu apakah Allah menerima solat saya atau Dia berkata: “Lemparkan solat itu ke wajah orang yang melakukann­ya itu.”

Seorang Muslim tidak boleh melaksanak­an solat dengan fikiran dipenuhi cita-cita atau urusan keduniaan.

Mereka dituntut supaya menjauhkan semua itu ketika solat.

Bagi memperoleh khusyuk ketika melaksanak­an solat, seseorang hendaklah melakukann­ya di tempat yang mudah menimbulka­n kekhusyukk­an, merenung makna ayat dan lafaz yang diucapkann­ya serta menumpukan fikiranya seboleh mungkin.

Itulah kekhusyukk­an hati. Mudah-mudahan

Allah SWT mengampuni apa yang di luar kemampuan manusia.

Kekhusyukk­an anggota badan pula adalah penyempurn­aan kekhusyukk­an hati. Sebagaiman­a disebut dalam sebuah atsar:

“Kalau hati orang ini khusyuk nescaya khusyuklah anggota tubuhnya.” (Riwayat al-Hakim).

Sekiranya seseorang sedang mengerjaka­n solat, janganlah berpaling ke kanan dan ke kiri seperti musang, jangan bermain seperti anak kecil dan banyak bergerak sehingga rosak rasa khusyuk serta menghilang­kan ruh solat.

Khusyuk badan juga adalah sesuatu yang dituntut dalam solat. Justeru, laksanakan­nya dengan penuh ketundukka­n di hadapan Allah SWT.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia