Harian Metro

Baju d alam RM8,000

- Zatul Iffah Zolkiply zatuliffah@hmetro.com.my

 Lelaki mengaku salah didenda curi 15 pakaian dua wanita

Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam kerana mencuri 15 helai pakaian dalam milik dua wanita.

Tertuduh, Shum Kok Fai, 28, turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaska­n denda berkenaan.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mencuri 14 helai pakaian dalam wanita milik mangsa berusia 19 tahun di belakang rumah sewa Taman Desa Putra, Banggol Tuan Muda, Manir, Kuala Terengganu, jam 12 tengah hari pada 24 Julai lalu.

Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan mencuri sehelai pakaian dalam wanita milik seorang mangsa berusia 18 tahun di alamat, waktu dan tarikh sama.

Bagi setiap pertuduhan, mahkamah menetapkan denda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaska­n denda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Faizah Nor Randeran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini dilaporkan, seorang buruh ditahan bersama beg mengandung­i pelbagai jenis pakaian dan seluar dalam wanita di Taman Desa Putra Banggol, Manir.

Suspek berusia 28 tahun itu ditahan polis selepas berada dalam keadaan mencurigak­an di kawasan perumahan berkenaan dan pemeriksaa­n terhadap beg yang dibawanya menemui pelbagai jenis pakaian dan seluar dalam wanita.

Lelaki berkenaan pernah ditangkap kerana terbabit kes pecah rumah sebelum ini mengaku mencuri pakaian dalam milik penduduk wanita di kawasan berkenaan.

Gambar suspek yang ditahan bersama pakaian dalam itu turut tular di laman sosial Facebook yang mengingatk­an suri rumah agar berhati-hati berikutan kes kecurian seluar dan baju dalam di kawasan berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia