Harian Metro

Vivian, Khe Wei harap dapat tingkat prestasi

- Fabian Peter fabian.mark@nst.com.my

Kuala Lumpur: Separuh pertama tahun ini boleh dianggap mengecewak­an buat beregu wanita kebangsaan Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei, namun gandingan itu berharap dapat mengubahny­a khususnya ketika Sukan SEA semakin hampir.

Semalam, beregu nombor satu negara itu mara ke suku akhir Terbuka New Zealand di Auckland hasil kemenangan selesa 21-12, 21-10 ke atas wakil tuan rumah Danielle Tahuri-Xie Yongshi pada pusingan kedua.

Pilihan utama dari Malaysia itu akan menentang gandingan China Qiao Shijun-Zhang Shuxian untuk tiket ke separuh akhir.

“Perlawanan hari ini (semalam) tidak begitu mencabar. Bagaimanap­un kami sedar semuanya akan berubah esok ketika suku akhir.

“Kami akan menentang gandingan muda dari China jadi harap pengalaman akan membantu ke peringkat seterusnya.

“Apa yang lebih penting bagi saya dan Khe Wei adalah Sukan SEA Kuala Lumpur. Tekanan semakin memuncak kerana kami menjadi sandaran memenangi emas.

“Tahun ini tidak begitu memihak kepada kami kerana tidak bermain dengan baik, jadi kami berharap dapat menggunaka­n Terbuka New Zealand ini sebagai platform untuk kembali mendapat rentak menjelang Sukan SEA.

“Apa yang boleh saya katakan hanya ada satu jalan, saya dan Khe Wei tiada pilihan selain memberikan yang terbaik,” kata Vivian ketika dihubungi.

Turut mara ke suku akhir ialah Joyce Choong-Goh Yea Ching yang membenam satu lagi beregu tempatan Alyssa Tagle-Jacqueline Yu 21-4, 21-5 pada pusingan kedua. Mereka akan berdepan pilihan keempat Ayako Sakuramoto-Yukiko Takahata dari Jepun selepas ini.

Sementara itu dalam aksi perseorang­an wanita, sandaran KL2017, Ho Yen Mei mara ke suku akhir dengan kemenangan 21-13, 21-16 ke atas pilihan kelapan Yulia Yosephin Susanto dari Indonesia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia