Harian Metro

LANGKAH TEPAT RM30,000

 Keputusan wanita mualaf tangguh beli barangan rumah sebaliknya buka kedai alat ganti telefon ternyata berbaloi

- Ahmad Rabiul Zulkifli am@hmetro.com.my

Keputusan wanita mualaf menangguhk­an hasrat membeli barangan keperluan rumah, tetapi sebaliknya menggunaka­n wang simpananny­a untuk berniaga ternyata langkah yang tepat.

Kini, perniagaan menjual alat ganti iPhone dijalankan Nurul Ain Teh Abdullah, 25, sejak setahun lalu meraih hasil jualan antara RM2,000 dan RM4,000 sehari.

Nurul Ain yang memeluk Islam pada November 2015 dan berkahwin dengan Helmi Haffizudin Suhaimi, 27, menggunaka­n semua wang simpananny­a RM30,000 untuk menjalanka­n perniagaan terbabit.

“Memandangk­an ketika itu saya baru berkahwin, sepatutnya wang simpanan itu saya gunakan untuk membeli barang keperluan rumah supaya kehidupan saya dan suami lebih selesa.

“Tetapi kami mengambil keputusan untuk menangguh dulu hasrat itu dan memulakan perniagaan menjual alat ganti telefon dan menumpang rumah ibu mentua sementara waktu,” katanya.

Menurutnya, keputusan yang diambil sangat tepat apabila perniagaan menjual alat ganti telefon yang diusahakan­nya itu mendapat sambutan luar biasa.

“Sambutan diterima sungguh menggalakk­an dan kini kami membuka dua cawangan baru di Rusila, Marang dan Gong Badak.

“Bermula dengan modal RM30,000, kini modal keseluruha­n di tiga kedai termasuk kedai pertama di Jalan Cabang Tiga mencecah RM300,000,” katanya yang fasih berbahasa Kantonis.

Nurul Ain berkata, keputusann­ya memeluk Islam dan berkahwin dengan lelaki Melayu memaksanya bekerja keras bagi membuktika­n keputusan yang diambilnya itu tepat, sekali gus membuka mata orang sekeliling.

“Selepas berkahwin, saya berhenti kerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur dan berpindah ke sini mengikut suami.

“Apabila saya memeluk Islam dan berhijrah ke negeri ini, orang sekeliling menganggap hidup saya akan menjadi susah selain terikat dengan banyak peraturan.

“Ia menjadi pemangkin semangat dan cabaran bagi membuktika­n saya mampu berjaya seterusnya mengubah pandangan mereka,” katanya.

Menurutnya, pada awalnya dia dan suami ke China untuk mengenal pasti jenis perniagaan yang berpotensi sebelum memilih perniagaan alat ganti telefon. “Kelebihan saya berbahasa Kantonis membantu saya memperoleh pengedar alat ganti dan aksesori telefon terbaik dari China seterusnya kami mampu menjualnya dengan separuh harga,” katanya.

Sementara itu, Helmi pula berkata, dia bangga dengan pencapaian isterinya itu, sekali gus membuktika­n keputusan yang dibuat sebelum ini adalah tepat.

“Dalam tempoh setahun, perniagaan yang dijalankan berkembang apabila bermula dengan hanya dua pekerja, tetapi kini bertambah menjadi sembilan pekerja.

“Pada mulanya sasaran jualan hanya RM1,000 sehari, tetapi sambutan luar biasa yang diterima menyebabka­n jualan mampu mencecah RM4,000 sehari,” katanya.

Menurutnya, dia dan isteri juga menyasarka­n untuk menjadi pengedar utama alat ganti telefon terbabit di Terengganu pada tahun hadapan.

“Kami yakin melalui hubungan yang kuat dengan pengedar dari China akan dapat membantu merealisas­ikan impian itu,” katanya.

 ??  ?? NURUL Ain bangga dengan perniagaan menjual alat ganti telefon bimbit yang dijalankan sejak setahun lalu.
NURUL Ain bangga dengan perniagaan menjual alat ganti telefon bimbit yang dijalankan sejak setahun lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia