Harian Metro

Terlalu rindu suami

-

Dungun: Isteri nelayan yang masih hilang selepas bot gentian kaca yang dinaikinya terbalik di muara Kuala Dungun pada malam Rabu lalu, Siti Nur Shuhada Hanafi, 23, mengakui terlalu rindu kepada suaminya dan ada menghubung­inya untuk meluahkan perasaanny­a itu.

“Lima hari sebelum kejadian, saya ada hubunginya dan merayu-rayu supaya dia segera pulang kerana amat merinduiny­a,” kata Siti Nur Shuhada, isteri Che Mohd Afendi Che Ismail, 34, nelayan yang masih hilang dalam kejadian itu.

Menurutnya yang mengandung tujuh bulan anak kedua mereka, dia tidak pernah berasa seperti itu sebelum ini walaupun suaminya sering keluar ke laut dalam tempoh lama.

“Ketika dapat berhubung dengan suami kira-kira jam 5 petang, dia hanya meminta saya bersabar kerana akan pulang lima hari lagi iaitu pada hari kejadian (Rabu).

“Kali ini datang perasaan rindu yang amat mendalam padanya. Rupa-rupanya ia petanda sesuatu yang buruk bakal berlaku terhadap dirinya,” katanya ketika ditemui di Pantai Kuala Dungun, di sini, semalam.

Menurutnya, suaminya begitu teruja dengan kandungan keduanya itu yang kini mencecah usia tujuh bulan.

“Seminggu sebelum dia keluar ke laut, suami sempat menemani saya membuat imbasan kandungan bagi mengetahui jantina anak dan hasilnya anak perempuan.

“Saya dijangka bersalin pada Oktober ini. Suami memang hendak anak lelaki tetapi tetap gembira dan teruja apabila dapat tahu jantina anak.

“Jika apa-apa berlaku kepadanya, terpaksala­h saya membesarka­n anak ini dan anak sulung kami yang berusia tiga tahun berseorang­an,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 3,000 jemaah di empat masjid, di sini, semalam mengadakan solat hajat memohon supaya tiga lagi nelayan yang masih hilang ditemui segera.

Pengerusi Penyelaras UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura Zainun Abu Bakar berkata, solat hajat berkenaan dilakukan dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Dungun di empat masjid utama dalam DUN itu iaitu Masjid Al-Naim, Masjid Tengku Intan Zaharah, Masjid Sungai Udang dan Masjid Padang Jambu.

 ??  ?? MAYAT Mohd Nazri dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan
MAYAT Mohd Nazri dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan
 ??  ?? SITI Nur Shuhada bersama anaknya setia menanti berita usaha pencarian suaminya Che Mohd Afendi.
SITI Nur Shuhada bersama anaknya setia menanti berita usaha pencarian suaminya Che Mohd Afendi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia