Harian Metro

PELABURAN ‘KAYAP’ DATUK, DATUK SERI

 Datuk Seri dan Datuk ditahan terbabit penipuan skim pelaburan cepat kaya Bookcoins

- Iskandar Shah Mohamed iskandar@hmetro.com.my

Dua ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dan Datuk dikesan mengendali­kan sindiket penipuan skim pelaburan cepat kaya dikenali sebagai Bookcoins yang kononnya menawarkan pulangan lumayan.

Mereka berusia 40-an yang dipercayai tinggal berjiran dikatakan bergiat aktif dalam skim pelaburan berkenaan sejak pertengaha­n tahun lalu dengan menjanjika­n pulangan keuntungan satu peratus sehari atau 30 peratus sebulan.

Bagi meyakinkan mangsa, seminar atau sesi taklimat mengenai skim dipercayai rekaan mereka diadakan di sekitar Lembah Klang yang merangkumi tiga pakej iaitu pakej emas, perak dan gangsa membabitka­n pelaburan sehingga RM500,000.

Namun, mangsa masih tidak memperoleh pulangan wang tunai dijanjikan, sebaliknya diberikan kata laluan kononnya untuk mengemas kini jumlah keuntungan di laman web skim berkenaan.

Kegiatan haram membabitka­n kerugian berjumlah RM2.1 juta itu, bagaimanap­un tumpas dengan tertangkap­nya dua lelaki terbabit dalam serbuan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di dua rumah mewah sekitar Desa Park City, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Difahamkan, serbuan jam 11 pagi berkenaan dilakukan susulan laporan polis dibuat empat mangsa pada awal bulan ini turut menemui sejumlah besar wang tersusun rapi di dalam bilik di kedua-dua rumah berkenaan.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, berdasarka­n siasatan awal sindiket itu dikatakan hanya bergerak dalam talian dengan menjanjika­n pulangan atau keuntungan menerusi jumlah pelaburan dibuat mangsa.

Menurutnya, tiga pakej yang ditawarkan masing-masing pakej emas (AS$10,000), perak

(AS$1,000) dan gangsa (AS$100), namun laman web itu tidak aktif dan kira-kira 200 mangsa yang membuat pelaburan tidak mendapat pulangan yang dijanjikan.

“Hasil serbuan polis merampas wang tunai berjumlah RM1.06 juta termasuk mata wang asing di dua rumah berkenaan untuk membantu siasatan.

“Kami turut merampas dua kereta mewah Porsche Macan dan Toyota Vellfire, di samping 35 beg tangan, 17 jam berjenama, 26 buku cek pelbagai akaun serta 16 keping silver bar,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, pemeriksaa­n juga mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah dan kini mengesan individu lain yang turut terbabit dalam sindiket berkenaan.

 ??  ??
 ??  ?? MAZLAN menunjukka­n barangan yang dirampas daripada sindiket Bookcoins.
MAZLAN menunjukka­n barangan yang dirampas daripada sindiket Bookcoins.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia