Harian Metro

Keberkatan haji mabrur

- Laman Nurani Bersama Fadly Samsudin

 Menambah iman dan ketakwaan dalam diri umat Islam

Pada zaman datuk nenek moyang kita dahulu, perjalanan bagi menunaikan haji cukup getir.

Sejak 1900 hingga 1960-an, jemaah haji ketika itu menaiki kapal laut untuk menunaikan haji di Makkah.

Pengembara­an mereka ke Makkah ibarat kemuncak kehidupan mereka. Ada yang menggadaik­an harta seperti tanah dan haiwan ternakan demi mendapatka­n wang untuk membayar tambang kapal laut.

Walaupun menuntut pelbagai cabaran dan pengorbana­n, namun semua itu dianggap sebagai dugaan daripada Allah

SWT selain membuktika­n seruan Ilahi itu perlu disahut dan diutamakan daripada segala-galanya.

Bagi golongan muda hari ini pasti pernah mendengar pelbagai versi cerita pengalaman dilalui orang zaman dulu menaiki kapal terutamany­a pelayaran yang mengambil masa antara dua hingga tiga bulan lamanya.

Selain itu, jemaah haji juga diuji dengan cabaran cuaca buruk, kapal dilanda ribut serta terdapat jemaah yang uzur meninggal dunia ketika dalam perjalanan pergi dan pulang menyebabka­n jasad terpaksa disemadika­n di lautan.

Bagaimanap­un, pada 1977, kapal laut tidak lagi digunakan, sebaliknya jemaah haji Malaysia mula menggunaka­n pesawat yang lebih selesa.

Pada tahun ini, seramai 30,200 jemaah haji Malaysia mendapat giliran menjadi ‘dhuyufurra­hman’.

Jumlah jemaah haji tahun ini juga meningkat selepas kerajaan Arab Saudi menambah kuota hasil hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi serta atas kecemerlan­gan Lembaga Tabung Haji (TH) mengendali­kan jemaah sejak sekian lama.

Menyingkap sejarah tertubuhny­a TH yang cukup gah sekarang bermula hasil cetusan idea Profesor Diraja Ungku

Abdul Aziz. Hasilnya, lahirlah Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (PWSBH) pada 1963.

PWSBH kemudianny­a bertukar menjadi Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) pada 1969 selepas bergabung dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang ditubuhkan serta beroperasi di Pulau Pinang pada 1951.

LUTH kemudian bertukar lagi kepada Lembaga Tabung Haji (TH) pada 1995 yang merintis jalan bagi membantu masyarakat Islam negara ini menunaikan haji dengan menyimpan wang tanpa riba.

TH ditubuhkan bukan saja bagi menguruska­n perjalanan jemaah haji ke Tanah Suci, malah turut berfungsi sebagai badan alternatif kepada umat Islam Malaysia menyimpan wang sambil melabur secara halal dan mengikut lunas Islam.

Berbicara mengenai kewajipan mengerjaka­n Rukun Islam Kelima itu, sememangny­a terlalu besar ganjaran bakal diterima buat jemaah haji yang berjaya memperoleh haji mabrur.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kesalahan yang berlaku di antara umrah itu diampunkan, manakala haji mabrur pula tidak ada balasan baginya melainkan syurga.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Menurut pendapat sebilangan ulama, haji mabrur itu tidak bercampur dengan perbuatan dosa sama ada kecil atau besar.

Mereka yang memperoleh haji mabrur sentiasa kuat imannya serta semakin meningkat amal ibadatnya.

Bukan perkara mudah untuk melayakkan seseorang menerima haji mabrur. Ia amat menuntut kepada keikhlasan dan usaha keras.

Laungan ‘Labbaik Allahumma Labbaik’ (Ya Allah aku datang memenuhi panggilan-Mu) menandakan setiap jemaah perlu berasa diri mereka begitu beruntung sekali kerana menjadi sebahagian daripada jutaan umat yang terpilih menjadi tetamu Allah SWT.

Orang yang mengerjaka­n ibadat haji biasanya akan dilayan cukup istimewa.

Sebelum berangkat, biasanya diadakan majlis kenduri doa selamat, rumah akan diziarahi sanak-saudara dan kenalan selain bas yang membawa jemaah ke lapangan terbang juga turut diiring khas kenderaan polis.

Pengembara­an haji sebenarnya adalah perjalanan ‘meleburkan’ segala dosa silam dan beriltizam menjadi insan yang lebih baik.

Ibadat haji yang dilaksanak­an dengan bersungguh-sungguh pasti membawa perubahan diri yang cukup besar.

Bagaimanap­un, perubahan tidak berlaku dalam sekelip mata dan proses memperbaik­i diri itu memerlukan komitmen dan masa.

Pelaksanaa­n ibadat haji juga memupuk sifat mahmudah seperti berkasih sayang, bantu-membantu selain menghindar­i sifat mazmumah seperti pembengis, bersengket­a, pentingkan diri sendiri serta kedekut.

Beberapa larangan yang ditetapkan ketika melaksanak­an ibadat haji juga bertujuan mendisipli­nkan diri jemaah supaya mereka mengetahui matlamat sebenar ibadat itu.

Persiapan mental dan fizikal sangat penting ketika melaksanak­an ibadat haji kerana jemaah pasti sentiasa diuji.

Bayangkan, jemaah datangnya dari seluruh dunia. Jadi sudah pasti terdapat pelbagai ragam manusia sesuai dengan perbezaan tradisi, budaya, tradisi serta karakter.

Ganjaran haji mabrur pasti akan terhasil melalui penghayata­n sehingga membawa kepada kesedaran, keinsafan serta memperbaik­i diri.

Itulah antara elemen penting bagi seseorang untuk kembali bertaubat kepada Allah SWT atas dosa yang dilakukan.

 ??  ?? KAPAL laut yang dinaiki jemaah haji Malaysia untuk ke Tanah Suci Makkah.
KAPAL laut yang dinaiki jemaah haji Malaysia untuk ke Tanah Suci Makkah.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia