Harian Metro

Tangkapan 3 benua

- Reuters

 Polis Australia, Dubai, Belanda tahan 17 orang dalam serbuan

Polis di Australia, Dubai dan Belanda menahan 17 orang dan merampas hampir dua tan dadah dianggarka­n bernilai A$810 juta (RM2.7 bilion) dalam serbuan serentak yang mematahkan dua sindiket jenayah berpangkal­an di Asia Barat.

Dalam operasi itu, sembilan lelaki dan seorang wanita ditangkap di Sydney, semalam, manakala lima lelaki ditahan di Emiriah Arab Bersatu oleh polis Dubai, kata polis Australia.

Pada masa sama, pihak berkuasa Belanda dilaporkan menahan dua lelaki didakwa bertanggun­gjawab menguruska­n bekalan dadah ke sebuah sindiket yang berpangkal­an di Australia.

Penolong Komisioner Polis Persekutua­n Australia (AFP) Neil Gaughan berkata: “Suspek yang disyaki menganggot­ai sindiket ini adalah anggota jenayah terancang Asia Barat yang sudah lama diperhatik­an pihak berkuasa.

“Sejak berdekad lalu kumpulan itu menayangka­n kekayaan dan aktiviti mereka, malah memberitah­u masyarakat sekeliling bahawa mereka tidak boleh ‘disentuh.’

“Hari ni, jelas terbukti itu tidak benar.”

Polis menyerbu 32 rumah di Sydney dan mengeluark­an 52 waran tangkap semalam dalam apa dikatakan serangan terbesar terhadap jenayah terancang dalam sejarah Australia, kata jurucakap AFP.

Siasatan bermula pada pertengaha­n tahun lalu, menyasarka­n kumpulan jenayah terancang yang mengimport dadah serta tembakau dalam kuantiti yang banyak, kata pihak berkuasa.

Satu kontena dadah dirampas di Belanda pada Julai lalu dipercayai untuk dihantar ke Australia menaiki kapal, kata jurucakap AFP itu.

Keseluruha­nnya, 1.8 tan Ecstasy, 136 kilogram kokain dan 15 kilogram methamphet­amine dirampas pihak berkuasa di Belanda, kata polis Australia.

AFP menganggar­kan nilai dadah itu mencapai sehingga A$810 juta (RM2.7 bilion) jika dijual di jalanan di Australia.

Wang tunai dan hartanah berjumlah kira-kira A$7 juta (RM24 juta) dirampas di Sydney dalam operasi berkenaan.

 ??  ?? POLIS Australia menyiasat salah satu kediaman yang diserbu di Sydney. - Daily Mail
POLIS Australia menyiasat salah satu kediaman yang diserbu di Sydney. - Daily Mail

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia