Harian Metro

Shaharudin kembali beraksi demi negara Farkhan mahu cipta sejarah

- Saiful Affendy Sapran saifulaffe­ndy@hmetro.com.my Aida Adilah Mat aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya kembali demi negara,”

Demikian tegas jaguh karate-do negara Shaharudin Jamaludin yang dipanggil kembali menyertai skuad kebangsaan untuk temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur selepas empat tahun bersara.

Jelas atlet berusia 29 tahun itu, tidak mungkin untuknya kembali semula jika bukan kerana mahu membantu Malaysia meraih emas pada temasya berlangsun­g di tanah air sendiri.

“Apabila dipanggil semula untuk menyertai skuad kebangsaan, saya rasa cukup teruja dan dihargai.

“Walaupun sudah lama tidak beraksi, saya masih mempunyai tahap kecergasan sama seperti atlet lain.

“Sukan SEA kali ini cukup berbeza untuk saya kerana ia berlangsun­g di tempat sendiri dan saya benar-benar mahu membantu pasukan memenangi emas,” katanya.

Berbeza berbanding penyertaan­nya pada temasya dwitahunan itu sebelum ini, Shaharudin berkata dia hanya akan menyertai acara berpasukan pada saingan kali ini.

“Malaysia tidak pernah memenangi acara berpasukan lelaki selama 26 tahun.

“Harap kali ini kami mampu memenangin­ya kerana pada beberapa final sebelum ini kami hanya tewas tipis pada aksi final.

“Saya percaya rakan sepasukan lain terutama barisan pemain muda mampu menggalas tugas ini,” katanya.

Shaharudin pernah memenangi emas menerusi acara kumite kategori 67 kilogram pada Sukan SEA 2011 Jakarta.

Sebagai atlet senior dalam skuad judo Mohd Farkhan Uzair Mohd Fikri mengakui dia menggalas tugas berat untuk memartabat­kan sukan itu di negara ini.

Farkhan, 21, berkata dia akan berusaha sebaik mungkin untuk menghadiah­kan emas kepada negara bagi membuka mata ramai pihak sukan judo mempunyai potensi besar untuk diketengah­kan ke peringkat lebih tinggi.

Beraksi dalam kategori bawah 73 kilogram, Farkhan menegaskan peluang berkampung di Mongolia selama dua bulan dan menyertai Terbuka Taiwan memberi pengalaman berharga menjelang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur minggu depan.

“Saya sudah bersedia. Segala persiapan sudah dibuat dan saya perlu berusaha untuk menghadiah­kan emas kepada negara.

“Saya bersama rakan pasukan yang lain menggalas tanggungja­wab besar dan sebagai senior dalam pasukan ini, hanya emas mampu mengubah persepsi orang luar,” katanya.

Atlet berasal dari Kedah itu menegaskan dia kini sudah tidak sabar beraksi dan biarpun mengakui judo kurang mendapat pendedahan berbanding sukan seni mempertaha­nkan diri lain seperti silat mahupun karate.

“Tapi senario itu tidak menjejaska­n semangat kami untuk bertanding dan memberikan yang terbaik.”

Begitupun perhatian perlu diberikan kepada lawan dari Thailand dan Indonesia yang dilihat pencabar utama dalam sukan itu.

Di Singapura, dua tahun lalu skuad judo negara menghadiah­kan lima gangsa dan kali ini sasaran tidak banyak berubah apabila sekadar mengintai dua gangsa.

Pencapaian terbaik skuad judo negara adalah meraih satu emas ketika temasya Sukan SEA 1981 Manila.

 Tekad julang sukan judo di mata rakyat Malaysia

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia