Harian Metro

Ribuan peminat sambut Lioness

-

Utrecht, Belanda: Ribuan penyokong yang mengenakan baju berwarna oren memenuhi pusat bandar Utrecht untuk menyambut kepulangan skuad bola sepak wanita Belanda yang muncul juara Kejohanan Eropah buat kali pertama, kelmarin.

Sebahagian besar skuad yang digelar ‘Lioness’ -wanita muda dan remaja perempuan - meluru untuk berada berhampira­n pagar di tepi terusan untuk melihat wajah pemain negara.

Skuad wanita Belanda tiba dengan bot berwarna oren, disambut dengan tepukan penyokong malah ada yang sanggup terjun ke dalam terusan untuk berada dekat dengan semua pemain.

“Ia sangat hebat. Mereka semua adalah wira saya,” kata Elena, 8, yang mengenakan jersi Belanda serta topi badut berwarna oren kepada AFP.

Tiba agak lewat ke lokasi sambutan di mana lebih 12,500 penyokong sudah sedia memenuhi kawasan di tepi terusan berkenaan, Elena hanya dapat melihat sambutan itu menerusi layar gergasi berhampira­n.

Di podium, pemain diperkenal­kan seorang demi seorang sambil penyokong menyanyika­n lagu ‘we are the champions!’.

“Ia sangat luar biasa dan sukar dipercayai. Saya tidak mempunyai kata-kata untuk menerangka­nnya. Ia bukan sesuatu yang normal,” kata penjaga gol Belanda dan Arsenal, Sari van Veenendaal.

“Saya tidak dapat tidur lena malam tadi,” tambahnya.

Skuad wanita Belanda mengalahka­n Denmark 4-2, Ahad lalu untuk muncul pasukan keempat yang menjulang piala selepas juara lapan kali, Jerman, juara dua kali, Norway dan Sweden yang memenangi edisi pertama pada 1984. - AFP

 ??  ?? SKUAD wanita Belanda diarak menaiki bot.
SKUAD wanita Belanda diarak menaiki bot.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia