Harian Metro

Pemain muda ada can...

- Aziman Rosdi aziman@hmetro.com.my

 Vingada belum muktamad senarai pilihan pemain berdepan Hong Kong

Kedudukan 24 pemain dalam skuad Harimau Malaya bagi aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong pada 5 September depan masih belum terjamin apabila pengendali Nelo Vingada bersedia memanggil pemain skuad bawah 22 (B-22) negara bagi memperkuat­kan pasukannya.

Jurulatih kelahiran Portugal itu berkata, beliau masih mempunyai masa untuk memanggil pemain B-22 yang menyerlah selepas selesai temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

“Saya masih terbuka untuk memilih pemain lain termasuk dari skuad bawah 22 tahun. Sepanjang Sukan SEA, saya tidak boleh memanggil pemain ini bagi sesi latihan dan perlawanan persahabat­an, tapi saya masih ada masa seminggu sebelum menentang Hong Kong untuk memanggil pemain yang saya fikirkan bagus selepas Sukan SEA nanti, tidak kira apa posisi sekalipun,” kata Vingada.

Jurulatih yang turut dikenali sebagai ‘The Professor’ itu sebelum ini melakukan tindakan drastik apabila menggugurk­an 11 pemain untuk membawa masuk muka baru termasuk kacukan kelahiran Sepanyol Kiko Insa dalam senarai 24 pemain bagi kem latihan pusat bermula Isnin depan.

Selain Kiko yang kini beraksi dengan Pahang, Vingada turut memberi peluang kepada penyerang PKNP FC Shahrel Fikri Fauzi dan penjaga gol Kedah Farhan Abu Bakar untuk bersama skuad kebangsaan buat kali pertama.

Ketika ini skuad B-22 kendalian Datuk Ong Kim Swee sudah memulakan latihan pusat bagi menghadapi Sukan SEA yang akan bermula dengan aksi pertemuan menentang Brunei dalam kempen Kumpulan A di Stadium Shah Alam, Isnin depan.

Vingada berkata, beliau tidak ada masalah memanggil muka baru kerana masih berkesempa­tan untuk menguji kemampuan mereka berbanding ketika tewas 1-2 kepadas Lubnan pada saingan Kumpulan B kelayakan Piala Asia 13 Jun lalu.

“Kita mempunyai tempoh yang lebih lama untuk berlatih dan saya juga boleh menguji pemain dalam tiga aksi persahabat­an antarabang­sa sebelum bertemu Hong Kong di Melaka,” katanya merujuk kepada perlawanan menentang Syria pada 22 Ogos, Macau (25 Ogos) dan Myanmar (29 Ogos).

 ??  ?? VINGADA (empat dari kanan) intai muka baru perkasa skuad Harimau Malaya bagi aksi kelayakan Piala Asia 2019.
VINGADA (empat dari kanan) intai muka baru perkasa skuad Harimau Malaya bagi aksi kelayakan Piala Asia 2019.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia