Harian Metro

MEMBENDUNG BULI SIBER

- Dr Nazeli Hamzah (Perunding Kanak-Kanak)

Malaysia di tempat ke-17 paling tinggi dalam

tinjauan ke atas 25 negara

Kemunculan komputer mudah milik dan akses mudah kepada Internet membuatkan kita lebih bergantung kepadanya.

Hari ini, seseorang itu tidak memerlukan komputer untuk mengakses Internet kerana peranti lain contohnya tablet, telefon pintar dan pencetak juga berupaya melakukann­ya. Ada kanakkanak yang mula diperkenal­kan kepada komputer seawal umur lima tahun dan menjelang remaja, mereka sudah pun menjadi ‘pakar teknologi’.

INTERNET TEMPAT BELAJAR

Internet sudah menjadi perkara penting kehidupan remaja kerana ia pintu gerbang kepada banyak maklumat. Mereka boleh membuat kerja sekolah, penyelidik­an dan merujuk kepada bahan berkualiti untuk tugasan.

Internet juga adalah cara yang baik untuk remaja bersosial. Media sosial digunakan secara meluas oleh remaja (dan juga orang dewasa) sebagai cara untuk berhubung dengan kawan dan keluarga, di mana-mana dan pada bila-bila masa. Anak anda tidak mengenali dunia tanpa Internet atau media sosial dan mereka tidak dapat bayangkan dunia tanpanya.

KEBURUKAN INTERNET

Kemajuan teknologi datang bersama ancaman baru dan peningkata­n bilangan ancaman seperti buli siber. Buli siber berlaku apabila seseorang menggunaka­n Internet untuk menghantar teks atau imej untuk menyakiti atau memalukan orang lain.

Menurut Microsoft Global Youth Online Behaviour Survey (2012), Malaysia berada di tempat ke-17 paling tinggi kes buli siber dalam kalangan 25 negara yang ditinjau. Kajian itu juga melaporkan 33 peratus kanak-kanak berumur lapan hingga 17 tahun mengalami beberapa bentuk buli siber. Dua tahun selepas kajian itu, satu kajian lanjutan mendedahka­n kejadian buli siber dalam kalangan kanak-kanak yang bersekolah di Malaysia sedang meningkat terutama mereka dalam lingkungan 13 hingga 15 tahun.

Pembuli siber mungkin rakan sekelas, kenalan dalam talian atau juga orang yang tidak dikenali, tetapi kebanyakan pembuli adalah mereka yang mengenali mangsa. Berikut adalah beberapa contoh perkara yang dilakukan oleh pembuli siber:

Menghantar e-mel, pesanan segera, atau pesanan teks dengan kata-kata kesat atau mengugut.

Memulau seseorang daripada senarai kawan Instant Messenger atau kumpulan WhatsApp atau menghalang e-mel mereka tanpa sebarang alasan.

Menipu seseorang agar mendedahka­n maklumat peribadi atau sesuatu yang memalukan lantas mengedarka­nnya kepada orang lain.

Menggodam e-mel atau akaun dalam talian seseorang untuk menghantar mesej kesat atau menyebarka­n perkara tidak benar sambil menyamar seperti orang berkenaan.

Mencipta laman web untuk mengejek orang lain.

Mengguna laman web untuk menilai rakan sebaya sebagai paling cantik, paling buruk dan sebagainya.

Menanam kebencian terhadap orang lain menggunaka­n maklumat yang tidak benar atau maklumat yang diada-adakan dan menghantar­nya dalam talian.

MELINDUNGI ANAK ANDA DARIPADA BULI SIBER

Ibu bapa dan penjaga perlu sedar anak mereka berkemungk­inan besar sudah terbabit dalam buli siber, sama ada sebagai mangsa, pembuli atau orang yang berada di tempat kejadian. Walaupun menghalang mereka daripada menggunaka­n Internet adalah jalan mudah, ia bukan cara yang realistik untuk mencegah buli siber. Sebaliknya:

Awasi penggunaan Internet mereka. Tetapkan had dan didik mereka mengenai tingkah laku dan etika Internet yang baik. Jika seorang kanak-kanak melanggar peraturan, hadkan akses Internet untuk satu tempoh yang dipersetuj­ui.

Guna pelindung privasi (privacy setting), kawalan ibu bapa (parental control) dan ciri keselamata­n binadalam yang disediakan.

Galakkan anak anda untuk tampil ke hadapan jika dibuli, mengenali mangsa buli atau jika mereka mempunyai maklumat mengenai seseorang yang sedang dibuli.

Pantau rapi aktiviti Internet anak dan pastikan anda memainkan peranan penting dalam kehidupann­ya serta babitkan diri dalam aktiviti yang mereka lakukan.

Ajar anak mengenai cara melayan orang lain dengan hormat dan bermaruah sama ada di dalam atau di luar talian.

Lengkapkan diri anda dengan pengetahua­n keselamata­n siber dan buli siber. Pastikan anak remaja anda juga memahami mengenainy­a.

Tunjukkan teladan tingkah laku dalam talian yang baik.

Sekiranya anak anda mengakui dibuli, nilai situasinya, kumpulkan maklumat, beri sokongan kepada anak dan buat laporan polis. Jika pembuli ialah seseorang yang mereka kenali di sekolah, buat juga aduan kepada pihak berkuasa sekolah.

Beritahu anak remaja anda agar:

Jangan memberi maklumat peribadi menerusi dalam talian untuk sebarang tujuan.

Berbincang mengenai buli siber dan beritahu mereka bahawa anda sentiasa ada untuk mendengar dan membantu.

Jangan memberitah­u kata laluan mereka kepada sesiapapun dan sentiasa log keluar daripada akaun atau komputer selepas menggunany­a.

Jika seseorang menghantar mesej kesat atau mengugut, jangan balas.. Simpan atau cetak mesej itu dan tunjuk kepada anda atau orang dewasa lain yang boleh dipercayai.

Jangan membuka emel/spam seseorang tanpa nama atau emel/pesanan daripada seseorang yang sedang membuli anda.

Jangan menghantar gambar diri yang boleh digunakan untuk memalukan atau memfitnah diri anda.

Fikir dahulu sebelum menghantar apa-apa dalam talian dan sentiasa berbudi bahasa dalam talian.

Buli siber ialah satu jenayah dan masalah serius dalam kalangan remaja dan tidak harus diambil ringan. Pembuli boleh dihukum di bawah Akta Jenayah Komputer, Kod Penal atau Akta Juvenil, bergantung kepada sifat atau keterukan kes.

Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh menjadikan dunia ini tempat yang betul-betul selamat untuk anak-anak, tetapi kita harus cuba sedaya upaya untuk sentiasa bersama mereka bagi memberi kaunseling, ketenangan dan keselamata­n. Pendidikan dan kesedaran sangat penting untuk memastikan anak anda tidak menjadi mangsa ancaman buli siber.

Artikel ini adalah sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi bersama rakan kongsi pakar: Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembanguna­n Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia. Pendapat dalam artikel ini adalah pandangan penulis. Untuk maklumat lanjut atau membaca majalah-e Pengasuhan Positif, layari www.mypositive­parenting.org.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia