Harian Metro

Luluh hati ayah

- Muhaamad Hafis Nawawi mhafis@hmetro.com.my

Remaja 13 tahun terjebak tagih syabu sejak 6 bulan lalu 239 daripada 3,000 pelajar positif dadah

Mahadzir

Bermula sekadar ingin mencuba akibat terpengaru­h dengan rakan, mengubah kehidupan seorang remaja lelaki apabila menjadi ketagih dadah syabu sejak enam bulan lalu.

Dia yang baru berusia 13 tahun sanggup membeli sendiri bekalan dadah berharga sekitar RM10 ke RM20 sepeket demi memuaskan ketagihann­ya daripada tiga lelaki tinggal di kawasan sama di sebuah flat, di sini.

Kegiatanny­a terbongkar selepas bapanya, 39, membuat aduan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah, jam 9.30 pagi semalam untuk menyelamat­kan anaknya daripada terus hanyut dalam gejala penagihan dadah.

Remaja terbabit ketika disoal wartawan berkata, atas rasa ingin tahu menyebabka­n dia terjebak dalam gejala itu sejak enam bulan lalu, tambahan di kawasan tempat tinggalnya memang ramai terbabit dadah membabitka­n pelbagai peringkat umur, namun dia yang paling muda terbabit menagih.

“Saya pada mulanya hanya melihat mereka menghisap dadah, namun tidak lama kemudian timbul perasaan ingin mencubanya.

“Sejak itu, saya jadi ketagih dan boleh dikatakan hampir setiap hari membeli dadah bagi melepaskan gian,” katanya ketika ditemui di Pejabat AADK Kedah di Wisma Persekutua­n Anak Bukit, di sini, selepas ditahan, semalam.

Katanya, dia sanggup membuat kerja sampingan seperti membantu orang mengangkat barang jika ingin berpindah rumah untuk mendapat upah sebelum wang itu dihabiskan untuk membeli syabu.

“Akibat ketagihan dadah juga saya sering ponteng sekolah dan bersama penagih lain melepaskan gian di kawasan tangga paling atas di rumah flat itu.

“Saya insaf selepas ditangkap hari ini (semalam) dan cuba berubah dan berjanji datang ke sekolah setiap hari demi masa depan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah AADK Kedah, Mahadzir Elias turut menasihatk­an remaja terbabit supaya berubah dan berhenti menagih dadah demi masa depannya.

“Dia masih muda dan jika dibiar berterusan akan merosakkan masa depannya dan kawasan tempat tinggalnya itu memang dikenali sebagai kawasan gejala dadah.

“Kita akan menyerahka­n namanya kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan sekolah untuk pengetahua­n mereka bagi memantauny­a sebelum tindakan susulan diambil,” katanya.

Mahadzir berkata, siasatan mendapati, remaja terbabit mula merokok sejak berusia 12 tahun sebelum menagih enam bulan lalu.

“Selain remaja terbabit, dua lagi rakannya termasuk seorang remaja orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajar­an berusia 16 tahun turut ditahan di rumah terbiar di tingkat lima flat berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mereka dibawa ke pejabat AADK dan hasil ujian saringan air kencing mendapati positif dadah.

“Kita juga akan berbincang dengan keluarga remaja itu tindakan akan diambil untuk membantuny­a sama ada dihantar ke pusat pemulihan atau menjalani pemulihan secara sukarela bersama komuniti dengan pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa.

“Selain itu, lebih 3,000 pelajar yang menjalani ujian saringan air kencing di negeri ini sehingga Jun ini , 239 daripadany­a positif dadah,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia