Harian Metro

Petang makan betik malam kena balun

-

Kuala Terengganu: “Saya merayu supaya mereka berhenti memukul kerana sakit sangat tetapi tanpa belas kasihan mereka terus membelasah saya,” kata Ahmad Zikrill Azim Hasbullah, 16, pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembesu di Kuala Nerus yang menjadi mangsa buli pelajar senior, pagi kelmarin.

Dia tidak tahu punca pelajar terbabit membelasah­nya bersama seorang rakan lagi, Wan Ahmad Faris Wan Zakaria, 16, menyebabka­nnya terpaksa dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pelajar Jurusan Teknologi Elektronik dari Bandar Permaisuri, Setiu berkata, dia tidak tahu mengapa pelajar senior terbabit bertindak demikian kerana pada petang hari kejadian, mereka sempat memakan buah betik yang diberikan ibu di kawasan asrama bersama-sama.

“Selepas pulang menjalani latihan boling jam 9 malam, saya keletihan dan tertidur sekitar jam 11.30 malam.

“Saya tidak sedap hati dan bangun semula untuk ke bilik air sekitar jam 12.30 tengah malam sebelum seseorang membelasah selepas menekup muka dengan selimut,” katanya.

Menurutnya, rakannya yang terjaga dari tidur ketika itu diarah tidak campur tangan sebelum rakan terbabit turut dibelasah kumpulan pelajar berkenaan.

Katanya, ketika kejadian setiap penjuru bilik dikawal kumpulan pelajar terbabit menyebabka­n mereka tidak dapat keluar untuk meminta bantuan sebelum kumpulan itu beredar.

Ketika ditanya sama ada dia akan kembali ke sekolah berkenaan, Ahmad Zikrill berkata, dia masih trauma dan takut untuk ke sekolah.

“Bagaimanap­un, saya berharap perasaan takut ini semakin kurang kerana saya masih mahu meneruskan pembelajar­an di kolej itu,” katanya ketika ditemui selepas lawatan Pengerusi Jawatankua­sa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tranformas­i Kerajaan Negeri A Latiff Awang di HSNZ, semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Shafruddin Ali Hussin.

Seorang lagi mangsa dalam kejadian berasingan, Muhammad Luqman Hakim Mohd Shukri, 17, mendakwa dia dibelasah 15 rakannya ketika berada di surau dan asrama kolej antara jam 9.30 dan 10.30 malam.

“Saya tidak tahu apa punca mereka tidak puas hati terhadap saya,” katanya yang mendakwa dibelasah pada malam Isnin lalu.

Menurutnya, pada mulanya dia mahu memaklumka­n kejadian itu kepada warden, tetapi kesakitan di bahagian belakangny­a disedari gurunya yang memegang bahu sebelum memaklumka­n kejadian itu kepada pengetuany­a.

Sementara itu, Shafruddin berkata, jabatan berkenaan meminta pengetua atau pihak sekolah supaya melaporkan segera sebarang kejadian buli kepada pihak berkuasa dengan segera tanpa perlu menyembuny­ikan sebarang insiden berlaku dalam kawasan sekolah.

Menurutnya, JPNT juga meminta semua sekolah atau kolej yang mempunyai asrama supaya menyiasat dan mengambil serius keadaan pelajar jika mereka mengadu tidak sihat.

Katanya, jika ia membabitka­n kes buli, pihak sekolah perlu segera melaporkan kepada polis tanpa menyembuny­i sebarang kejadian yang berlaku dalam kawasan sekolah.

“Kini terdapat dua pelajar Kolej Vokasional berkenaan yang menerima rawatan di HSNZ selepas berlaku dua kejadian berasingan dua hari berturut-turut membabitka­n tiga pelajar menjadi mangsa.

“Berdasarka­n maklumat, kedua-dua kejadian berkenaan berpunca daripada salah faham antara pelajar terbabit,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia