Harian Metro

Status harta wakaf

Pemilik tidak boleh ambil semula dalam apa pun keadaan

- Penulis ialah peguam syarie

Saya tertarik untuk mewakafkan sebahagian bangunan atau tanah untuk digunakan bagi tujuan pembanguna­n umat Islam. Saya ingin tahu bolehkah wakaf itu ditarik balik?

Abdul Rahman Ismail Johor

Wakaf adalah adalah salah satu ibadat atau cara mendekatka­n diri kepada Allah SWT menerusi harta kekayaan.

Amalan berwakaf juga satu ibadat yang awal dalam Islam diizinkan oleh syarak bagi umat Islam yang berharta, mampu dan ingin melakukann­ya.

Wakaf menjadi satu tradisi kepada golongan pemerintah dan hartawan Muslim pada abad dan pertengaha­n Islam yang dilakukan secara meluas khususnya di negara Arab dan Asia Tengah.

Sehinggaka­n di kebanyakan negara Arab ditubuhkan satu kementeria­n khas untuk mengendali­kan urusan harta wakaf kerana harta wakaf terlalu banyak dan tidak terurus tanpa ditubuhkan kementeria­n khusus itu.

Wakaf bermaksud menahan barangan harta yang boleh dimanfaatk­an serta kekal asetnya dengan memutuskan diguna pakai ke atas aset itu daripada pihak pewakaf atau lainnya ke arah kegunaan yang harus atau diguna pakai penghasila­nnya ke arah kebaikan dan kebajikan kerana mendamping diri kepada Allah.

Hukum wakaf di sisi jumhur ulama selain Mazhab Hanbali adalah sunat yang digalakkan. Ia adalah pemberian sedekah yang digalakkan menerusi firman Allah SWT dalam Surah Al-Imran yang bermaksud: “Kamu tidak sekali-kali dapat mencapai kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.”

Di beberapa negeri di Malaysia sudah ada Enakmen Wakaf seperti Enakmen Wakaf (Negeri Sembilan) 2005 Enakmen 5 Tahun 2005.

Di bawah Enakmen itu menyatakan pengertian wakaf adalah:

Menyerahka­n hakmilik apa-apa harta yang boleh dinikmati manfaat, faedah atau keuntungan­nya.

Menyerahka­n manfaat, faedah atau keuntungan yang boleh dinikmati daripada apa-apa harta.

Memberikan kepakaran dan perkhidmat­an yang boleh dinikmati manfaat, faedah atau keuntungan­nya sama ada sebagai wakaf am atau wakaf khas menurut prinsip syariah tetapi tidak termasuk amanah yang ditakrifka­n di bawah Akta Pemegang Amanah 1949 (Akta 208).

Rukun wakaf ada empat di sisi jumhur ulama iaitu:

1. Pewakaf iaitu ahli tabarru’ (orang yang layak membuat kebajikan).

2. Aset atau harta yang diwakafkan (mauquf) itu kepunyaan pewakaf dan boleh dimanfaatk­an serta kekal asetnya.

3. Orang atau tempat yang ditujukan (mauquf alaih) yang ada pada masa itu.

4. Lafaz wakaf (sighah al-waqaf).

Syarat sah wakaf:

1. Harta atau aset yang diwakafkan itu benda yang ditentukan (ta’yin) dan boleh dimanfaatk­an serta kekal zatnya selain harta atau aset itu hak milik pewakaf.

2. Hendaklah diwakafkan untuk pihak yang boleh didapati selama-lamanya seperti fuqara’ masakin atau masjid.

3. Wakaf itu bukan untuk perkara larangan syarak.

4. Hendaklah dijelaskan hala tuju wakaf (mauquf alaih).

5. Wakaf hendaklah terlaksana serta-merta (tanpa taklik atau gantungan).

6. Beriltizam atau berkuat kuasa (tanpa berdolak dalik) ertinya tidak ada rasa khiar bagi diri pewakaf pada mengekalka­n pewakafnya atau tidak ingin merujuk semula daripada wakafnya itu.

Berkenaan persoalan sekiranya harta yang dicadangka­n untuk tujuan wakaf itu ditarik balik, itu adalah termasuk dalam syarat keenam sahnya wakaf.

Oleh itu, harta yang sah ditetapkan sebagai wakaf tidak boleh diambil semula oleh orang yang mewakafkan­nya (wakif) walaupun dengan membayar nilaian sebagai ganti harta berkenaan.

Contohnya, jika harta yang sudah sah diwakafkan oleh pemiliknya tetapi tidak digunakan sepertiman­a yang sepatutnya oleh pengendali wakaf (nadzir), maka orang yang mewakaf (wakif) tetap tidak boleh mengambil semula harta yang diwakafkan, tetapi boleh menggantik­an nadzir itu dengan nadzir lain.

Selain itu, wakif iaitu orang yang mewakaf juga perlu tahu hal terhadap benda yang diwakafkan­nya iaitu:

1. Benda wakaf tidak boleh dihibahkan kepada siapa pun kerana wakaf adalah mengambil manfaat, bukan menghabisk­an bendanya.

2. Benda wakaf tidak boleh diwariskan kerana apabila diwariskan menyebabka­n status wakafnya dipindah milik menjadi hak perseorang­an.

3. Benda wakaf tidak boleh dijual beli kerana jika dijual beli menyebabka­n keaslian harta wakaf itu berubah. Sebagaiman­a sebuah hadis riwayat Umar RA berkata: “Sesungguhn­ya tanah wakaf tidak boleh dijual, tidak boleh dihibahkan dan tidak boleh diwariskan.” (Hadis riwayat Bukhari)

Berdasarka­n pendapat Mazhab Syafie, harta yang diwakafkan bukan lagi menjadi hak pewakaf, sebaliknya ia menjadi hak Allah SWT.

Menurut Imam Syafie, harta wakaf itu untuk selamanya-lamanya dan tidak boleh wakaf dengan masa tertentu.

Harta wakaf juga tidak boleh dikembalik­an kepada pewakaf jika pewakaf ingin mengambiln­ya semula.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia