Harian Metro

KWSP tiada rancangan jual pegangan

-

Kajang: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak ada rancangan untuk menjual 49 peratus peganganny­a dalam pengendali lebuh raya, PLUS Malaysia Bhd kerana pelaburan dalam syarikat itu memberikan pulangan yang baik bagi dana pencen terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutifn­ya Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, dana pencen itu dan UEM Group Bhd yang memegang baki 51 peratus pegangan dalam PLUS memperuntu­kkan pelaburan yang besar dalam mengembang­kan rangkaiann­ya terutama di Lembah Klang.

Beliau berkata, PLUS Malaysia memberi sumbangan besar kepada pendapatan KWSP.

“Pihak yang berminat mungkin memaklumka­n kepada akhbar berhubung perkara itu, tetapi kami tidak menerima tawaran daripada sesiapa berhubung pegangan itu. Tidak ada pelamar,” katanya selepas majlis permeterai­an perjanjian perkongsia­n dengan Internatio­nal Training Centre of the Internatio­nal Labour Organisati­on (ITC-ILO), di sini, semalam.

UEM Group ialah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd. Turut hadir, Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman dan Pegawai Program Kanan Perlindung­an Sosial, Tadbir Urus dan Tripartism­e ITC-ILO, Charles Crevier.

Shahril berkata demikian sebagai mengulas mengenai hasrat yang disuarakan tokoh korporat Tan Sri Abu Sahid Mohamad untuk mengambil alih PLUS Malaysia menerusi syarikatny­a, Maju Holdings Sdn Bhd.

Menurut laporan media, Abu Sahid dipetik sebagai berkata, beliau yakin dapat mencapai perjanjian itu yang mungkin menelan kos RM30 bilion atau lebih kerana beliau ‘sudah bersedia segala-galanya’.

Hartawan itu juga dipetik sebagai berkata, beliau menerima restu di peringkat tertinggi berhubung perkara itu dan merancang untuk bertemu Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar bagi membincang­kan pengambila­lihan berkenaan. - BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia