Harian Metro

‘Panas’ objek terbang

- Faliq Lajim am@hmetro.com.my

 Forum Nothing to Hide 2.0 kecoh habis selepas sejam bermula

Forum Nothing to Hide 2.0 di Kompleks Belia dan Kebudayaan, Seksyen 7 di sini, semalam, bertukar kecoh dan tegang apabila suar, kerusi, kasut, selipar dan botol air ‘berterbang­an’ ketika Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad berucap.

Forum jam 4 petang itu yang pada mulanya aman bertukar tegang sehingga berlakunya lontaran beberapa objek sejam ia berlangsun­g selepas seorang penonton bertanyaka­n soalan kepada bekas perdana menteri itu.

Keadaan itu menimbulka­n panik kepada mereka yang hadir sehingga penonton bertindak berlari ke luar dewan untuk menyelamat­kan diri dan beberapa orang turut dilaporkan cedera ketika

kekecohan berlaku.

Suasana forum itu menjadi tegang apabila Dr Mahathir enggan menjawab soalan seorang hadirin yang bertanya sama ada sabitan kes liwat terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika era pentadbira­nnya adalah benar atau hanya bermotifka­n politik.

Ia kemudianny­a bertukar lebih tegang selepas penonton meminta Dr Mahathir mengulas lanjut mengenai kejadian Memali di Kedah pada 1985.

Bagaimanap­un, ada penonton tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Dr Mahathir sehingga berlakunya provokasi menyebabka­n ada pihak melontar kasut dan selipar ke arahnya.

Turut hadir dalam forum berkenaan, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, penasihat DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya sudah menahan tiga lelaki yang dipercayai menimbulka­n kekecohan dalam forum berkenaan setakat jam 5.45 petang semalam.

“Tiga remaja lelaki berusia 17, 18 dan 19 tahun ditahan berhubung kekecohan yang berlaku pada forum berkenaan.

“Mereka ditahan oleh orang awam yang berada dalam program ini sebelum diserahkan kepada polis,” katanya.

Menurutnya, remaja berusia 18 dan 19 tahun itu adalah penuntut sebuah kolej swasta manakala seorang lagi tidak bersekolah.

Shafien berkata, sehingga jam 5.45 petang itu pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung insiden berkenaan.

“Sebelum ini kita sudah memanggil pihak penganjur selepas mereka memohon untuk menganjurk­an forum berkenaan. Kita sudah meletakkan beberapa syarat bagi memastikan keselamata­n di forum berkenaan terjamin.

“Namun, penganjur didapati gagal memenuhi syarat berkenaan dan kita akan memanggil penganjur untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan menjalanka­n siasatan lanjut ke atas perkara ini.

“Beri ruang kepada polis untuk membuat siasatan. Jangan buat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia