Harian Metro

Hidup sentiasa berbakti

-

Dalam hidup ini, tiada insan yang mampu menguruska­n kehidupann­ya seorang diri tanpa bantuan orang lain.

Inilah hakikat kehidupan manusia yang serba kekurangan. Ada kalanya, manusia terpaksa meminta-minta daripada orang lain hanya untuk memenuhi tuntutan kehidupann­ya.

Kita sering memikirkan apa yang selayaknya diterima daripada orang lain. Memang benar setiap insan mempunyai hak yang perlu ditunaikan oleh orang lain terhadap dirinya.

Seorang anak ada hak untuk dijaga dan dididik oleh orang tuanya. Begitu juga seorang pekerja mempunyai hak supaya diberi gaji oleh majikannya.

Seorang pelajar juga mempunyai hak untuk mendapat ilmu bermanfaat daripada gurunya.

Meskipun kita mempunyai hak masing-masing yang perlu ditunaikan, hakikatnya diri sendiri juga mempunyai tanggungja­wab terhadap orang lain.

Kehidupan di dunia ini bukan hanya dipenuhi dengan hak dan permintaan namun ia perlu juga diwarnai dengan tanggungja­wab dan pemberian.

Kehidupan lebih bermakna sekiranya kita berjaya memanfaatk­an apa saja yang ada pada diri sendiri untuk diberikan kepada orang lain.

Dalam bab wang dan harta yang dimiliki, walau sebanyak manapun harta itu, pasti ada hak orang lain yang perlu ditunaikan.

Kita perlu memberi sejumlah harta kepada golongan yang berhak menerimany­a. Harta tidak boleh dibelanjak­an hanya untuk diri sendiri.

Jika harta kekayaan hanya dimanfaatk­an untuk diri sendiri, maka sifat tamak dan kufur terhadap nikmat sedang memuncak dalam diri.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Belanjakan­lah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadany­a (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu) kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhn­ya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.” (Surah al-Baqarah, ayat 267)

Islam bukan saja mewajibkan umatnya menunaikan ibadat zakat malah turut membuka ruang yang luas dalam bab sedekah supaya umat Islam sentiasa membudayak­an amalan memberi kepada orang lain.

Banyak kelebihan dijanjikan Allah SWT kepada golongan yang sanggup memberikan sedikit daripada harta mereka untuk manfaat orang lain.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan bandingan orang yang membelanja­kan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul daripada jiwa mereka adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluark­an hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiramin­ya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah, ayat 266)

Usah sempitkan perbuatan memberi hanya berkaitan wang dan harta. Terlalu banyak yang boleh kita berikan kepada orang lain asalkan ia membawa kebaikan kepada si penerima dan membawa manfaat kepadanya.

Berikanlah apa saja yang kita miliki mengikut kadar kemampuan kerana setiap pemberian pasti ada ganjaran yang istimewa daripada Allah SWT.

Sebagai contoh, kita dianjurkan berkongsi serta menyampaik­an ilmu kepada orang lain.

Terdapat satu istilah iaitu ‘kedekut ilmu’ yang menggambar­kan sikap bakhil seseorang terhadap sedikit ilmu dimilikiny­a.

Ilmu pula cakupannya amat luas. Ilmu berkaitan agama adalah ilmu yang wajib dikongsi dengan orang lain.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebaik-baik kalian adalah yang belajar al-Quran dan mengajarka­nnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis berkenaan menjelaska­n keutamaan memberi ilmu agama kepada orang lain. Sebarang bentuk ilmu yang dapat memberi manfaat turut digalakkan untuk dikongsi.

Selain itu, kita juga diperintah­kan agama untuk memberikan kasih sayang kepada individu yang mempunyai kaitan dalam hidup seperti ibu bapa.

Usah jadi anak yang bersifat bakhil kasih sayang terhadap ibu bapa. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaiman­a mereka mencurahka­n kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra’, ayat 24)

Justeru, ubahlah sikap dalam diri daripada asyik meminta kepada orang lain kepada sifat yang lebih mulia iaitu memberi sesuatu yang baik kepada orang lain.

Tanyalah pada diri mengenai apa pemberian yang dibuat kepada orang lain setakat hari ini.

Hidup akan lebih bermakna dengan untaian doa orang lain kepada diri disebabkan pemberian baik yang mereka terima daripada kita.

 Bantu orang lain serta beri kasih sayang kepada ibu bapa

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Hidup kita lebih

bermakna dengan doa baik daripada orang

dibantu

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia