Harian Metro

Perkukuh pendidikan kewangan

-

Subjek perlu dijadikan pembelajar­an sepanjang hayat bagi semua individu

Pendidikan kewangan sewajarnya dijadikan sebagai pembelajar­an sepanjang hayat dalam kehidupan seseorang individu. Persoalan yang sering dibahaskan ialah bila masa yang sesuai untuk diajar dan diperkenal­kan dengan pengetahua­n dan kemahiran berkaitan pengurusan kewangan?

Banyak kajian lalu bersetuju pendidikan kewangan seharusnya bermula awal di rumah dan ibu bapa individu terpenting yang mencorak nilai, sikap dan tingkah laku kewangan anak.

Bagaimanap­un, ia tidak boleh terhenti di situ saja kerana pengukuhan perlu terus dipergiatk­an lagi melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulu­m di peringkat sekolah rendah dan menengah seterusnya ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Usaha dilakukan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementeria­n Pendidikan dengan memperkena­lkan elemen pendidikan kewangan dalam subjek tertentu pada peringkat sekolah rendah dan menengah.

Di peringkat IPT pula, kerajaan dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan

Kredit (AKPK) menguruska­n modul pengurusan kewangan sebagai subjek pilihan di 52 universiti awam dan swasta serta 30 politeknik.

Kesinambun­gan pembelajar­an perlu diteruskan hingga pelajar bergraduat dan memasuki alam pekerjaan. Namun, bukan semua majikan menyediaka­n dan menganjurk­an program pendidikan kewangan untuk kebajikan kakitangan mereka.

Data menunjukka­n ramai dalam kalangan pekerja muda mengalami masalah keberhutan­gan hingga membawa kepada muflis. Sehubungan itu, majikan perlu mengambil langkah proaktif dengan menyediaka­n program dan aktiviti berkaitan pendidikan kewangan di tempat kerja.

Pendekatan kreatif, inovatif dan santai perlu dalam diterapkan dalam merangka program pendidikan kewangan manakala kaedah penyampaia­n yang interaktif perlu diguna pakai untuk memastikan keberkesan­an di semua peringkat baik di rumah hingga di tempat kerja.

Tiada istilah one size fits all.

Pihak penyedia dan pelaksana program juga perlu membuat penilaian secara berterusan dan penambahba­ikan ke atas kandungan dan kaedah penyampaia­n dalam usaha memastikan program disediakan memberi impak kepada kumpulan sasaran dan memberi pulangan setimpal ke atas pelaburan yang dilakukan.

Pendidikan kewangan juga harus mengambil kira kumpulan sasaran yang kurang mendapat perhatian dalam masyarakat misalnya mereka yang tidak bekerja atau diberhenti­kan kerja, kumpulan minoriti dan mereka yang tidak mendapat perhatian sosial.

Pembabitan dan peranan aktif semua pihak penting dalam usaha menjadikan rakyat Malaysia celik dan bijak mengurus kewangan terutama dalam suasana ekonomi tempatan dan global yang tidak menentu serta peningkata­n kos sara hidup.

Cabaran utama sebenarnya ialah sejauh mana pengguna sendiri mampu berubah ke arah menjadi pengguna yang bijak, berhemah dan berintegri­ti dalam mendepani suasana ekonomi semasa.

Pengguna sendiri harus bersedia untuk berubah dan perubahan itu perlu bermula sekarang dan seharusnya pendidikan kewangan dijadikan pembelajar­an sepanjang hayat oleh semua individu.

Sebagai langkah menangani lebih banyak isu timbul pada masa depan, penulis mencadangk­an kursus berkaitan pendidikan kewangan dijadikan kursus wajib bagi semua pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Semua pelajar tanpa mengira bidang pengajian mereka sama ada perubatan, kejurutera­an, ekonomi, pendidikan, usuluddin dan sebagainya perlu mengambil kursus ini.

Ia secara tidak langsung dapat membantu mereka mengurus wang biasiswa dan pinjaman pendidikan yang diiterima dan sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Sebagai suri teladan terbaik, ibu bapa perlu mempamerka­n amalan pengurusan yang bijak. Anak sentiasa memerhatik­an individu terdekat dengan persekitar­an mereka, maka jangan jadi seperti ketam yang ingin mengajar anaknya berjalan betul, tapi dia sendiri tidak berjalan betul.

Semua individu juga perlu mengambil inisiatif untuk melengkapi diri mereka dengan pengetahua­n dan kemahiran pengurusan kewangan.

Penulis ialah Ahli Jawatankua­sa Penyelidik­an dan Penerbitan Majlis Perancang Kewangan Malaysia (MFPC)

Data menunjukka­n ramai pekerja muda mengalami masalah

keberhutan­gan hingga membawa

kepada muflis

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia