Harian Metro

RM200 sebulan

- Siti Fatimah Nasir am@hmetro.com.my

 Pasangan suami isteri antara 400 jemaah dari Mersing berangkat ke Madinah jam 2.48 pagi semalam

“Dijemput menjadi tetamu Allah untuk menunaikan ibadat haji tahun ini adalah satu anugerah terindah yang tidak akan saya lupakan,” kata pesara syarikat swasta, Sulaiman Jazuli, 61.

Dia antara 400 jemaah haji dari Mersing, Johor yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah pada jam 2.48 pagi semalam.

Sulaiman berkata, dia berasa bersyukur kerana dapat menunaikan Rukun Islam kelima bersama isterinya, Norliah Ghazali, 59, selepas tujuh tahun menanti panggilan haji.

“Penantian selama tujuh tahun berakhir apabila impian menjadi tetamu Allah dimakbulka­n pada tahun ini dan tiada ungkapan dapat digambarka­n selain rasa syukur yang tidak terhingga.

“Doa dan solat hajat yang saya lakukan setiap hari bagi memohon kepada Allah agar diberi peluang untuk ke Tanah Suci bersama isteri akhirnya termakbul walaupun sudah lanjut usia,” katanya yang mempunyai lapan anak itu.

Sementara itu, isterinya, Norliah Ghazali berkata, setiap tahun suaminya akan menabung sekurang-kurangnya RM200 sebulan ke dalam akaun Tabung Haji bagi membolehka­nnya pergi haji bersama memandangk­an tidak mempunyai pendapatan dan hanya bergantung kepada suami.

“Sebelum pergi menunaikan ibadat haji, suami sudah merancang setiap tabunganny­a mencukupi bagi membolehka­n saya menunaikan Rukun Islam kelima ini bersamanya.

“Alhamdulil­lah, tabungan wang yang dikumpul suami akhirnya membuahkan hasil apabila mendapat tawaran menunaikan haji tercapai tanpa sebarang masalah,” katanya.

Suri rumah itu berkata, dia dan suami memanjatka­n rasa syukur sebaik menerima panggilan haji pada Julai lalu.

“Sebaik menerima panggilan haji ini, saya dan suami melakukan sujud syukur kerana penantian selama tujuh tahun akhirnya tercapai jua memandangk­an usia kami pun sudah lanjut.

“Sepanjang berada di Tanah Suci nanti, saya akan mempraktik­kan segala ilmu yang dipelajari semasa menghadiri kursus haji bagi membolehka­n saya menyempurn­akan ibadat dengan sempurna dan mendapat haji mabrur,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia