Harian Metro

Bijak tangani rasa marah

-

Siapa yang tidak pernah rasa marah? Marah adalah sifat normal yang perlu ada pada setiap insan, cuma ia mestilah kena pada tempatnya. Walaupun secara umumnya wanita lebih emosional, ada juga lelaki yang kurang mahir mengendali­kan emosinya dan mudah melenting jika ada perkara yang tidak berkenan di hatinya.

Ada wanita yang mengakui suaminya sering melemparka­n panggilan menghina apabila dia marah sehingga pernah terlintas dalam hatinya untuk menuntut fasakh.

Sifat cepat marah ini bukan saja boleh menjejaska­n hubungan, tetapi ia juga memberi kesan negatif kepada diri individu itu sendiri. Kajian menunjukka­n sifat ini ada kaitan dengan masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung, sakit kepala, masalah kulit dan penghadama­n.

Lebih membimbang­kan, jika sifat kurang baik ini tidak ditangani, ia boleh mendorong seseorang itu kepada isu besar lain seperti jenayah, penderaan fizikal dan emosi serta perlakuan ganas.

Jika anda termasuk dalam kategori yang cepat naik angin, belajarlah cara untuk menangani keadaan ini. Jika perlu, dapatkan bantuan profesiona­l supaya ia tidak menjejaska­n kehidupan anda dan orang sekeliling. Sebagai panduan, ada beberapa cara yang boleh anda lakukan iaitu:

Apabila berasa marah, tarik nafas dalam-dalam. Ubah posisi anda. Jika anda sedang berdiri, segeralah duduk. Jika duduk, anda boleh berbaring. Jika masih tidak berkurang, ambillah wuduk kerana kemarahan itu berpunca dari syaitan yang diperbuat dari api.

Ucapkan kata-kata positif kepada diri sendiri. Jangan fikirkan perkara yang menyebabka­n anda marah, bimbang anda termakan hasutan syaitan. Ulang kali, katakan pada diri sendiri ‘relaks’ hingga anda rasa tenang.

Walaupun meluahkan kemarahan itu lebih baik daripada memendamka­nnya, tetapi ia perlulah dizahirkan dengan cara yang betul. Letusan kemarahan yang kerap akan menjadikan anda seorang panas baran dan boleh melukakan hati orang.

Cuba perhatikan keadaan ketika orang marah, nafasnya akan menjadi cepat dan degupan jantung juga lebih pantas. Semua ini memberi tekanan kepada diri sendiri.

Dapatkan bantuan dan sokongan. Luahkan perasaan anda dan cubalah belajar untuk mengubah sifat tidak baik ini.

Jika anda tidak pasti, cuba buat catatan setiap kali anda berasa marah atau memikirkan perkara yang boleh membuat anda marah. Catatkan juga perkara yang menyebabka­n anda marah dan perubahan pada diri yang anda alami. Melalui cara ini, anda boleh melihat kekerapan anda marah dan memikirkan adakah punca yang dicatatkan itu berbaloi untuk dilayan.

Cuba dapatkan perspektif lain dengan meletakkan diri anda di tempat orang terutama kesan yang dirasai dengan kemarahan itu.

Belajar untuk ketawa pada diri sendiri. Cubalah belajar mencari perkara lucu dalam keadaan yang mungkin sebelum ini membuatkan anda panas hati.

Ajar diri untuk mendengar. Ada sebab mengapa Allah menganuger­ahkan kita dengan dua telinga dan satu mulut - supaya kita lebih banyak mendengar daripada bercakap. Mendengar boleh membantu anda memperbaik­i kemahiran berkomunik­asi dan mendapat kepercayaa­n orang lain.

Banyakkan beristighf­ar dan berzikir. Lebih baik, jika setiap kali anda berasa marah, ambil wuduk dan solat sunat dua rakaat. Mengadulah kepada Allah masalah anda dan mohonlah agar

Dia membantu anda memperbaik­i akhlak.

Dapatkan juga bantuan pakar sama pakar psikologi atau doktor kesihatan mental lain yang boleh membantu anda mengubah cara berfikir dan memperbaik­i tingkah laku.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia