PUISI HATI ABAH
> “Sudahlah buta, tinggal sebatang kara pula. Saya hanya mampu duduk atau berbaring mengenang saat manis bersama bekas isteri dan anak-anak. Sebab itu, saya seronok apabila ada yang datang melawat,” kata bapa kepada seorang selebriti popular pada era 90-an yang kini menghuni sebuah pusat jagaan, lapor Garret Dawum
Di penghujung sebuah bilik menempatkan lebih 20 katil penghuni, seorang lelaki duduk termenung sambil meraba-raba kain tilamnya yang sudah enam tahun dia menjadi penghuni di situ.
“Inilah rumah saya, inilah tempat tinggal saya. Tiada apa lagi yang saya miliki. Beginilah rutin harian saya, tidur dan makan.
“Mahu buat kerja, bukan saya boleh nampak. Hidup pun sudah tidak lama,” kata
lelaki itu yang mesra jika dirinya dipanggil Uncle Rosli (bukan nama sebenar).
Bapa kepada seorang selebriti popular pada era 90-an itu yang menghuni sebuah pusat jagaan terletak di sempadan Selangor dan Perak, kini bukan saja menghidap pelbagai penyakit malah, sudah hilang penglihatan.
“Saya tidak mengharapkan anak-anak untuk datang menjemput pulang meninggalkan rumah ini tetapi saya harap mereka datanglah menjenguk saya.
“Apa yang saya perlu sekarang hanyalah kasih sayang. Kalau boleh, sebelum menutup mata, saya mahu anak saya datang berjumpa.
“Saya rindu mereka dan tidak akan menyalahkan mereka dengan alasan saya berada di sini,” katanya yang mempunyai dua anak lelaki hasil perkongsian hidup dengan bekas isterinya.
Katanya, kehilangan pancaindera itu pula berlaku ketika bekerja di Brunei sambil memberitahu dia menghidap penyakit Tourette Syndrome yang menjadi penyebab kedua-dua matanya buta.
“Penyakit ini sudah lama saya alami iaitu sejak 40 tahun lalu, tetapi ketika itu saya diserang penyakit sawan dan seluruh badan saya bergetar tidak terkawal.
“Serangan kerap penyakit itu menyebabkan saya buta kerana tangan saya sendiri memukul mata saya,” katanya.
Tidak mahu menyalahkan anaknya kerana membiarkan dirinya menghuni pusat jagaan itu, Uncle Rosli berkata, kesibukan kerja mungkin memaksa dua anaknya yang sudah berkeluarga membuat keputusan itu.
“Biarlah, jangan sebut sangat tentang mereka. Mereka mungkin sibuk dan banyak komitmen lain.
“Uncle selesa untuk tinggal di sini. Di pusat ini saya mendapat penjagaan rapi dan perhatian yang lebih daripada jururawat.
“Kehidupan uncle di rumah ini juga lebih terurus berbanding sebelum ini walaupun berasa kurang selesa pada peringkat awal,” katanya.
Memaklumkan dirinya selalu berulang ke hospital untuk mendapatkan rawatan, Uncle Rosli hanya mengharapkan dirinya akan terus dipanjangkan umur.
Mengimbau sejarah hidupnya, Uncle Rosli berkata beliau sudah bercerai sejak 30 tahun lalu dan dalam tempoh itu dia mula hidup bersendirian.
“Sejak itu juga, saya hanya menumpang di rumah rakan karib di sebuah flat di Kajang tanpa sebarang bayaran.
“Namun, rakan saya meninggal dunia akibat penyakit barah otak tujuh tahun lalu dan selepas itu saya hilang tempat bergantung,” katanya yang mengambil keputusan menyetujui cadangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menempatkannya di rumah jagaan tersebut.
Beliau berkata, sejak mendiami rumah jagaan itu pada 24 September 2010, tiada seorang pun anaknya datang menjenguk.
Katanya, kemeriahan Aidilfitri lalu hanya meriah dan tenang apabila diraikan bersama rakan di rumah terbabit.
“Sudahlah buta, tinggal sebatang kara pula. Sekarang, saya hanya mampu duduk atau berbaring mengenang kisah manis saat bersama bekas isteri dan anak.
“Sebab itu, saya seronok apabila ada yang datang melawat kerana itu penghibur saya di kala bersendirian,” katanya.
Bapa selebriti era 90-an buta damba kasih sayang