Harian Metro

‘Saya sudah lupa semuanya’

-

Kuala Kubu Bharu: Ingatannya kini sudah merosot dan kehidupan bahagia yang dijalani dulu sudah semakin jauh dari dirinya.

“Nama saya? Tidak tahu. Saya sudah lupa semuanya. Saya tidak ingat apa-apa. Minta maaf ya.

“Apabila sedar saja, saya sudah ada di atas katil ini,” kata seorang wanita yang dikenali sebagai Sari ketika ditemui di sebuah rumah kebajikan di Hulu Selangor, baru-baru ini.

Dia yang baru berusia 48 tahun itu sudah menghuni rumah kebajikan tersebut hampir dua bulan dan menjalani kehidupan baru dengan tenang.

Difahamkan, Sari yang berasal dari Klang, Selangor dihantar oleh rakan baiknya selepas didakwa dipukul oleh suaminya yang juga seorang individu berpangkat Datuk.

Paling menyedihka­n, Sari turut dipukul oleh anak kandungnya sendiri sehingga menyebabka­n dia mengalami strok dan lumpuh separuh badan.

Seorang pembantu di rumah kebajikan itu yang enggan dikenali berkata, ketika Sari dihantar ke situ dia dalam keadaan tidak bermaya.

“Menurut maklumat yang diberikan oleh rakannya, dia sudah lama didera dan tidak boleh bekerja.

“Simpati dengan nasib yang menimpa Sari, rakannya bersetuju untuk menghantar­nya ke rumah kebajikan ini.

“Sekarang, Sari mengalami kemurungan dan jarang bercakap. Dia sudah lupa semua perkara berkenaan dirinya,” kata pembantu itu.

Melanjutka­n perbualan bersama Sari, dia sekali lagi memohon kemaafan kerana tidak boleh memberi kerjasama yang baik terutama memperkena­lkan diri yang sebenar.

Malah, hanya tangan sebelah kanan saja yang mampu digerakkan untuk berbual bersama wartawan.

“Saya memang tidak ingat apa-apa. Tapi saya dulu kerja arkitek di Kuala Lumpur tetapi sekarang hanya duduk di atas katil ini.

“Ini kehidupan baru saya. Mungkin tidak ada siapa sayang saya, namun saya tenang dan seronok di sini.

“Kita semua pernah buat dosa dan kadangnya jauh dari Tuhan. Tiada manusia yang sempurna.

“Di sini, saya janji untuk membaiki kehidupan dan tidak akan pernah mengalah,” katanya.

Dengan nada sebak, Sari sempat mengucapka­n terima kasih kepada wartawan sebelum beredar kerana sudi menjengukn­ya dan meminta jika boleh ramai yang akan datang untuk ke rumah kebajikan terutama memberi semangat kepada golongan warga emas yang terabai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia