Harian Metro

‘Jadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran’

-

Kuala Lumpur: “Jadikan apa yang berlaku pengajaran kepada rakyat Malaysia yang ingin menggunaka­n perkhidmat­an rumah tumpangan di dalam atau luar negara,” kata Presiden Persatuan Rumah Inap Desa Malaysia, Datuk Sahariman Hamdan.

Beliau mengulas kejadian tiga rakyat Malaysia yang melakukan vandalisme di rumah tumpangan The Vitti Lodge and Family Apartment di Osaka, Jepun, baru-baru ini.

Katanya, kejadian itu memberi imej buruk kepada pelancong Malaysia dan sepatutnya sikap bersopan-santun serta berbudi bahasa diamalkan ketika di negara orang.

“Namun, kedua-dua pihak sudah menyelesai­kan masalah terbabit.

“Menerusi laman Facebook The Vitti Lodge, mereka mengalu-alukan kedatangan rakyat Malaysia tanpa melarang mereka menginap di rumah berkenaan selepas mengambil kira beberapa aspek.

“Malah, remaja berkenaan memohon maaf atas kesilapan dilakukan. Marilah kita ambil iktibar dengan apa yang terjadi,” katanya.

Dalam kejadian menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), remaja berkenaan dikenali sebagai Ramadhan Sinclair, Hidayat Kamal dan Ahmad Faris melakukan vandalisme dengan merosakkan dinding rumah tumpangan berkenaan, buang air di bilik mandi dan bersikap kasar terhadap pekerja.

Video berkenaan menjadi tular di media sosial dan pemilik rumah berkenaan menerusi laman Facebook memaklumka­n mereka kerugian RM5,114 (130,000 Yen) untuk membaiki kerosakan.

Menurut Sahariman, pihaknya ralat dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi ada yang terus mempercaya­i tular tanpa menyelidik kebenaran.

“Kita ada undang-undang dan biarlah kesalahan dilakukan diadili dengan saksama.

“Rumah inap desa di Malaysia juga mempunyai peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti pengunjung. Permasalah­an berlaku perlu diselesaik­an dengan baik,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia