Harian Metro

Bekalan menuju akhirat

 Isi setiap detik kehidupan dengan berbuat amal kebaikan

-

Baru-baru ini, Harian Metro ada menyiarkan berita yang sangat menyentuh perasaan. Berita mengenai kematian pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Pilah-Juasseh, berhampira­n Ladang Juasseh.

Mereka meninggalk­an lima anak yang masih belajar di sekolah dan pusat pengajian tinggi. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Namun, itulah takdir

Ilahi yang perlu diterima bagi yang masih hidup di dunia. Hidup perlu diteruskan tanpa melupakan jasa dan pengorbana­n ibu bapa yang sudah pergi.

Hidup di dunia hanya sementara untuk melakukan amal kebaikan serta mengumpul pahala untuk dibawa sebagai bekalan.

Adakah kita sudah bersedia menghadapi kematian lalu menggandak­an amalan kebaikan?

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasany­a pada hari kiamat sajalah akan disempurna­kan balasan kamu. Ketika itu, sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhn­ya dia berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahann­ya dan pangkat kebesarann­ya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.” (Surah

Ali ‘Imran, ayat 185)

Banyak peringatan diberikan Allah SWT kepada kita melalui ayat-Nya. Malah kita juga menyaksika­n sendiri ahli keluarga, sahabat-handai dan jiran tetangga yang meninggalk­an kita.

Rasulullah SAW berpesan kepada kita yang maksudnya: “Perbanyakk­anlah mengingati pemutus kenikmatan (dunia).” (Hadis riwayat at-Tirmidzi, Ibn Majah, an-Nasa’i dan Ahmad)

Dengan kematian, berakhirla­h peluang seseorang untuk merasai kenikmatan dunia yang bersifat sementara dan penuh dengan tipu daya.

Allah SWT mengingatk­an hakikat kehidupan di dunia ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang)...” (Surah al-Hadid, ayat 20)

Mengingati kematian bukan sekadar menyedari kematian itu satu kemestian. Ia perlu diikuti dengan menggandak­an amalan baik bagi meraih ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Usah persiakan setiap detik yang berlalu dalam kehidupan.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Dialah yang mentakdirk­an adanya kematian dan kehidupan (kamu) untuk menguji dan menzahirka­n keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya dan Dia Maha Kuasa (membalas setiap amalan kamu) lagi Maha Pengampun (bagi golongan yang bertaubat).” (Surah al-Mulk, ayat 2)

Mungkin masih ada dalam kalangan kita berpendapa­t amal ibadat itu hanya tertumpu kepada soal solat, puasa, zakat, haji dan ibadat khusus semata-mata.

Pandangan sebegitu perlu diperbetul­kan supaya kita tidak rugi dalam meraih ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Setiap perbuatan baik yang kita lakukan disertakan dengan niat yang baik dan tatacara yang betul pasti menerima ganjaran daripada Allah SWT.

Tiada makhluk di dunia memiliki kehebatan melebihi Allah SWT. Soal sama ada perbuatan itu kecil ataupun besar di mata manusia, ia tidak sewajarnya menjadi penghalang untuk kita terus melakukan kebaikan.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Sesiapa yang beramal soleh, daripada kalangan lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhn­ya Kami akan menghidupk­an dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhn­ya kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah an-Nahl, ayat 97)

Mudah-mudahan kita dikurniaka­n pengakhira­n kehidupan yang baik (husnul khatimah).

Semoga kita akan tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang reda dan diredai ketika dijemput mengadap Ilahi.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang menjelaska­n keadaan hamba-Nya yang mendapat kedudukan istimewa selepas berjaya memanfaatk­an kehidupan dunia dengan sebaiknya.

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaa­n dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan para hamba-Ku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (Surah al-Fajr, ayat 27-30) Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

 ??  ?? Bersama Mohd Shahrizal
Nasir
Bersama Mohd Shahrizal Nasir

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia