Harian Metro

Skuad wanita dibelasah

- Firdaus Hashim firdaushas­him@hmetro.com.my

Shah Alam: Misi kebangkita­n yang diharapkan pada aksi ketiga acara bola sepak wanita di Stadium Mini UiTM Shah Alam bertukar mimpi ngeri apabila skuad negara tewas 0-6 di tangan Thailand, malam tadi.

Kekalahan besar itu mengulangi skrip serupa ketika tewas dengan jumlah jaringan sama kepada Myanmar pada aksi kedua serta turut tunduk dalam perlawanan sulung di tangan Filipina (1-2).

Malah, kekalahan ketiga berturut-turut itu menutup terus peluang Malaysia untuk sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa apabila gagal meraih sebarang mata setakat ini sekali gus berada di tangga tercorot daripada lima pasukan.

Seawal wisel sepak mula dibunyikan, pertahanan negara terpaksa bekerja keras bagi mengekang serangan bertali arus skuad Piala Dunia Wanita 2015 Thailand yang menguasai aksi dari segenap penjuru.

Pelawat yang menghuni tangga ke-29 dalam ranking Persekutua­n Bolasepak Antarabang­sa (FIFA) berbanding Malaysia di kedudukan 80 dunia, berjaya mendahului pada minit ke-19 hasil tolakan mudah Orathai Srimanee yang bijak melepaskan meloloskan diri daripada pertahanan negara.

Thailand terus menguasai aksi namun ketangkasa­n penjaga gol negara, Nurul Azurin Mazlan banyak menghalang percubaan pelawat.

Bagaimanap­un, bersambung babak kedua, skuad kendalian Mohd Asyraaf Abdullah nyata gagal menggugat kehebatan anak buah Spencer Prior apabila mereka mengganas dengan meraih lima gol pada separuh masa kedua.

Pesta gol pelawat bermula menerusi tandukan Nisa Romyen pada minit ke-54 sebelum skuad Gajah Perang itu menambah empat gol lagi hasil jaringan Srimanee (m-56), Naphat Seesraum (m-58), Saowalak Pengngam (m-60) dan Taneekarn Dangda (m-90).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia