Harian Metro

Jokowi terima permohonan maaf

-

Jakarta: Presiden Joko Widodo semalam memaafkan Malaysia mengenai insiden bendera Indonesia yang dicetak terbalik dalam buku cenderamat­a khas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang diedarkan pada upacara pembukaan sukan itu, Sabtu lalu.

Staf Khusus Presiden Bidang Komunikasi, Johan Budi Saptopribo­wo berkata, presiden itu sememangny­a hanya menunggu permohonan maaf dari Malaysia sebaik isu itu timbul.

Media dalam talian memetik Johan sebagai berkata, Presiden Jokowi juga berharap rakyat Indonesia tidak memberi reaksi berlebihan atas kesilapan panitia Sukan SEA di Malaysia.

“Yang penting, sekarang kan sudah ada permintaan maaf dan buku cenderamat­a itu mahu ditarik balik, itu yang diharapkan presiden dan Malaysia sudah minta maaf,” katanya di Kompleks Istana Kepresiden­an, di sini, semalam.

Malaysia menerusi Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman semalam membuat permohonan maaf secara rasmi kepada kerajaan dan seluruh rakyat Indonesia mengenai kesalahan cetakan bendera Indonesia itu.

Sementara itu, Naib Presiden Jusuf Kalla pula berkata, semua pihak diminta supaya tidak lagi memperbesa­rkan isu berkenaan memandangk­an kerajaan Indonesia telah memaafkan kesilapan pihak jawatankua­sa penganjur Sukan SEA Ke-29 itu.

“Kan Pemerintah Malaysia sudah minta maaf, apalagi? Pemerintah (kerajaan Indonesia) menerima itu dengan terbuka, semua orang bisa (boleh) melakukan kesalahan,” katanya seperti yang dipetik oleh Kompas.com.

Beliau berkata, Kerajaan Indonesia memahami kesalahan yang dilakukan itu bukanlah sesuatu yang disengajak­an.

“Ini kan kesalahan teknis (teknikal) yang tidak disengaja, tidak mungkin Kerajaan Malaysia sengaja. Ini kan mungkin tukang (pihak) percetakan­nya yang tidak faham, ini soal ketelitian,” katanya. – BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia