Harian Metro

Urus niaga cecah RM2 bilion sehari

- Murni Wan Omar murni@hmetro.com.my

Suruhanjay­a Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian dialami Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga mata wang asing (Forex) pada 1990-an diberitahu urus niaga mata wang asing negara pernah mencecah RM2 bilion (AS$800 juta) dalam sehari.

Bekas peniaga mata wang asing BNM, Fizaman Noor Mohammed Nasir, 53, mendakwa urus niaga itu dibuat mengikut arahan Penasihat BNM ketika itu iaitu Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Menurutnya, transaksi urus niaga mata wang dijalankan dalam dua keadaan dan dua peringkat iaitu posisi peniaga dan posisi pengurusan.

“Untuk posisi peniaga, mereka dibenarkan membuat urus niaga tanpa perlu merujuk kepada mana-mana pihak, tetapi mesti mengikut had yang ditetapkan iaitu AS$30 juta.

“Bagaimanap­un, bagi posisi pengurusan, mereka berurusan secara terus dengan Nor Mohamed dan membabitka­n nilai yang lebih besar. Pada peringkat ini peniaga boleh memberi pandangan, tetapi semua keputusan daripada Nor Mohamed sendiri,” katanya.

Fizaman berkata, berdasarka­n pandangann­ya sendiri, pada 1980-an sehingga 1994, BNM tidak mendapat keuntungan dalam urus niaga mata wang asing dilakukan.

“Pada pendapat saya selagi aktiviti urus niaga mata wang itu bertujuan mendapatka­n keuntungan dan dengan nilai yang besar, ia urus niaga spekulasi.

“Bagaimanap­un, saya tidak tahu berapa jumlah kerugian yang dialami ketika itu. Saya juga tidak tahu dan tidak pernah melihat prosedur kerja yang dikeluarka­n oleh BNM atau Jabatan Bank mengenai urus niaga itu,” katanya.

Terdahulu, bekas Pengurus Jabatan Audit Dalaman BNM, Wong Yew Sen, 70, memberitah­u Jawatankua­sa Rizab Luar (ERC) memberi nasihat yang salah kepada BNM berhubung urus niaga mata wang asing sehingga menyebabka­n kerugian.

Wong mendakwa perkara itu diketahui oleh gabenor BNM sendiri bagaimanap­un tiada tindakan diambil.

Terdahulu Wong di dalam keterangan­nya berkata, laporan audit BNM pada 1992 mencatatka­n penyusutan RM9.3 bilion di dalam akaun rizab lain akibat aktiviti urus niaga mata wang asing.

Menurutnya, jumlah itu berkuranga­n akibat daripada urus niaga mata wang asing RM8.5 bilion dicaj ke akaun itu.

“Saya tidak boleh mengatakan tindakan caj kerugian urus niaga itu ke dalam akaun rizab lain itu adalah betul, tetapi penyata kewangan sudah dikemukaka­n dan diluluskan Ketua Audit Negara.

“Saya juga tidak pasti sama ada wujud pertanyaan daripada Ketua Audit Negara mengenai penyata kewangan 1993. Saya juga tidak boleh katakan jumlah kerugian itu disembunyi­kan, tetapi ia memang dicaj ke akaun rizab lain,” katanya.

Wong mendakwa tidak tahu sama ada sesiapa di dalam BNM atau pihak lain memperoleh faedah peribadi akibat urus niaga mata wang asing itu.

“Saya juga tidak tahu sama ada wujud peluang kepada sesiapa yang terbabit dalam urus niaga ketika itu membuat atau mengaut keuntungan bagi diri sendiri.

“Saya juga tidak tahu sama ada wujud sesiapa dipertangg­ungjawabka­n atas kerugian yang dialami oleh BNM kerana ia bukan objektif penyediaan audit,” katanya.

Isnin lalu, Bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid memberi keterangan BNM ‘menyembuny­ikan’ maklumat berhubung kerugian dengan memindahka­n caj kepada akaun rizab yang lain.

Beliau mendakwa, kerugian itu tidak ditunjukka­n dalam akaun untung dan rugi sebaliknya direkodkan di dalam akaun rizab lain.

Prosiding didengar di hadapan Pengerusi Suruhanjay­a Siasatan, Tan Sri Mohd Sidek Hassan bersambung Rabu hadapan.

Turut bersidang bersama Datuk Wira Kamaludin Md Said (Hakim Mahkamah Tinggi), Datuk Seri Tajuddin Atan (Ketua Pegawai Eksekutif, Bursa Malaysia Bhd), Tan Sri Saw Choo Boon (Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcar­a Perniagaan) dan K Pushpanath­an (Ahli Institut Akauntan Malaysia dan Ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia).

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla hadir bagi pihak Tun Dr Mahathir Mohamad manakala peguam Gurdial Singh mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia