Harian Metro

Geng belasah remaja ditahan

-

Tindakan sekumpulan lelaki memukul dua remaja hingga cedera parah membawa padah apabila tiga daripada mereka berusia 14 hingga 18 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kejadian di sebuah hotel di Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri, pada 19 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, semua suspek ditahan jam 4.50 pagi di sebuah apartmen di Taman Tampoi Indah, pada 21 Ogos lalu.

Kejadian berkenaan berlaku sebaik Polis Iskandar Puteri menerima panggilan daripada kenderaan Unit Penyelamat dan Paramedik (EMRS) mengenai dua remaja dipukul sekumpulan lelaki di depan sebuah hotel.

“Berdasarka­n laporan, mangsa dipukul sekumpulan lelaki dalam kejadian di hotel di Jalan Bestari 1/5, Taman Nusa Bestari pada jam 11.55 pagi, 19 Ogos lalu.

“Pengadu membuat laporan untuk dijadikan maklumat pertama,” katanya.

Berikutan itu, tiga remaja berusia 14, 15 dan 18 tahun ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri, pada 21 Ogos lalu.

“Suspek remaja berusia 14 tahun bekerja sebagai jurujual dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala dua lagi berusia 15 dan 18 tahun tidak bekerja serta tiada rekod jenayah,” katanya.

Bagi kesalahan itu tertuduh disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangk­an kecederaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

 ??  ?? NOOR Hashim
NOOR Hashim

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia