Harian Metro

Tidak mengaku tipu warga emas

-

Alor Setar: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Setar, di sini, semalam, atas dua pertuduhan iaitu menyalahgu­nakan wang milik seorang warga emas dan menipu mangsa dengan menggunaka­n dokumen resit insurans palsu.

Tertuduh, Yip Jia Xiang, 27, yang juga ejen insurans dari Taman Sri Aman, dekat sini, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menyalahgu­nakan wang tunai RM1,000 milik Lim Chim Sia, 70, di sebuah kopitiam di sini, antara 27 Disember 2016, jam 12.30 tengah hari hingga 6 Mac lalu, jam 1.30 tengah hari.

Pertuduhan kedua, pada waktu, masa dan di tempat sama, Yip dituduh memalsukan dokumen 20 resit rasmi AIA dengan niat memperdaya Lim untuk menyerahka­n RM1,000.

Bagi kesalahan menyalahgu­nakan wang, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun, denda dan sebat.

Sementara itu, untuk kesalahan memalsukan dokumen, Yip dituduh mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Ruslan Osman melakukan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam bela daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Majistret Noor Farah Hazwani membenarka­n tertuduh dijamin RM7,500 bagi dua pertuduhan dan menetapkan sebutan kes pada 26 September ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia