Harian Metro

Siasat fitnah polis, isteri salah guna kuasa

-

Ipoh: Polis negeri ini sedang menyiasat dakwaan dibuat terhadap seorang ketua polis daerah dan isteri kononnya pegawai itu menyalah guna kuasa serta melakukan pelbagai jenayah termasuk mengambil rasuah daripada sindiket perjudian serta memiliki pusat pelacuran.

Dakwaan yang ditulis seperti surat terbuka kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar turut tular selepas dimuat naik di laman sosial Facebook (FB), Sabtu lalu menggunaka­n akaun seorang wanita.

Melalui FB itu, ia meminta pegawai terbabit bersama isterinya yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkenaan dikenakan hukuman.

Dakwaan itu turut membabitka­n beberapa pegawai polis lain.

Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan dalam kenyataann­ya semalam berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang wanita Sabtu lalu.

“Dalam laporan polis dibuat, wanita itu mendakwa profilnya digunakan pihak lain untuk mengeluark­an keterangan berupa fitnah terhadap seorang pegawai kanan polis dan isterinya yang memegang jawatan sebagai pengerusi persatuan.

“Berdasarka­n laporan itu, kami membuka satu kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (fitnah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997 kerana kesalahan salah guna talian dan ceroboh,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia