Harian Metro

‘Lebih hargai kebebasan di luar’

-

Putrajaya: “Kami pernah buat salah dan sudahpun dikenakan hukuman setimpal. Kami berharap masyarakat dapat beri peluang serta menerima kami,” kata V Arun, 39, yang pernah menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun di Penjara Kajang, Selangor dan Penjara Gemas, Negeri Sembilan.

Dia ditahan polis di Shah Alam pada 2011 dan dikenakan hukuman atas kesalahan samun berkumpula­n serta kini dibebaskan sejak Oktober tahun lalu.

Selepas dibebaskan, Arun diberi peluang bekerja di sebuah ladang nanas dimiliki Datuk Seri Tengku Hasmuddin Tengku Othman di Seri Menanti, Negeri Sembilan dengan gaji bulanan RM1,500 melalui Program Pemulihan Pemasyarak­atan (CRP) dilaksanak­an Jabatan Penjara.

Arun berkata, kehidupan di penjara mendidikny­a untuk berubah menjadi manusia berguna dan berharap tidak mahu lagi terjebak dengan kisah silamnya.

“Pada awal menjalani hukuman, saya sifatkan ia sangat sukar kerana banduan perlu menjalani latihan fizikal, namun lama-kelamaan saya sudah biasa dan belajar daripada pelbagai program disediakan.

“Ternyata, apabila menjadi banduan menjadikan saya benar-benar menghargai kebebasan di luar. Saya menghuni Penjara Kajang selama empat tahun dan tiga tahun di Gemas. Dari situ, saya belajar menanam nanas,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Perhimpuna­n Bulanan Kementeria­n Dalam Negeri (KDN) di sini, semalam.

Ditanya mengenai kisah silamnya, Arun berkata, sebelum terjebak dalam kancah jenayah, dia bekerja sebagai jurutera di Singapura selama 12 tahun sebelum berdepan dengan masalah dan kembali ke Malaysia.

“Saya mempunyai ijazah dalam kejurutera­an elektrik menuntut di sebuah universiti di Singapura dan tamat belajar, saya terus bekerja di sana malah dibayar dengan gaji tinggi.

“Bagaimanap­un, saya berdepan dengan masalah seterusnya pulang ke Malaysia dan akibatnya, saya minum minuman keras selain terjerumus dalam kumpulan samun,” katanya.

Dalam pada itu, Arun berkata, sebaik keluar dari penjara, dia ditawarkan oleh Tengku Hasmuddin untuk bekerja di ladang nanas berkenaan selain disediakan tempat tinggal.

“Saya menerima tawaran itu malah, ada seorang lagi rakan sekerja bekas banduan dan pekerja lain juga tahu latar belakang kami.

“Dari segi persepsi masyarakat luar, saya tidak berapa pasti namun, mungkin sukar untuk banduan seperti kami memohon kerja lebih-lebih lagi dalam borang permohonan turut ditanya sama ada pernah terbabit kes di mahkamah.

“Dalam sesi temuduga, sudah pasti majikan akan bertanya mengenai perkara itu, kami tidak boleh menipu dan perlu menjelaska­n perkara sebenar,” katanya.

Sementara itu, Arun yang berasal dari Klang berkata, kedua ibu bapanya sudah tiada namun dia masih menghubung­i abangnya dan keluarga turut gembira dengan perubahan dirinya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia