Harian Metro

Adab dan tatasusila pelancong Malaysia

- Selvarani P Kovil Pillai Penulis Pensyarah Program Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia

Kebanyakan orang gemar melancong apatah lagi jika dapat melancong ke negara luar. Satu ketika dulu, hobi melancong ini dianggap aktiviti orang kaya atau golongan berada kerana ia memerlukan perbelanja­an besar untuk membayar tambang penerbanga­n, penginapan dan makan minum ketika berada di luar negara.

Namun kini, peluang melancong ke luar negara sudah banyak apabila syarikat penerbanga­n Malaysia memberi tawaran harga yang mampu dibayar oleh pelancong kita yang berhasrat melancong ke negara luar.

Justeru, ramai yang mengambil kesempatan ini untuk melancong ke negara lain di seluruh dunia.

Namun, ada juga segelintir masyarakat yang menganggap aktiviti melancong ini membazirka­n wang ringgit dan tenaga, malah ada juga yang takut menaiki kapal terbang kerana fobia dan faktor keselamata­n. Namun, apabila kita melancong, banyak perkara yang dapat dipelajari, antaranya keistimewa­an budaya di negara itu yang tidak ada di negara sendiri.

Pertubuhan Pelanconga­n Dunia (WTO) memberi definisi pelanconga­n sebagai aktiviti pengembara­an seseorang yang pergi dan menetap di sesuatu tempat yang bukan kebiasaan untuk tempoh masa tidak melebihi satu tahun untuk tujuan rehat, rekreasi dan sebagainya.

Apabila membicarak­an mengenai industri pelanconga­n, cukup penting memastikan hubungan baik serta komunikasi yang efektif dan berkualiti antara negara yang menjadi hos dan pelancong.

Sering kali negara hos menuding jari kepada pelancong dari negara luar kerana tidak bersikap senonoh dan berdisipli­n, sebaliknya ada juga pelancong yang menyalahka­n negara hos yang memberi layanan tidak baik kepada pelancong dari luar.

Namun, dalam industri pelanconga­n, kedua-dua pihak harus bertanggun­gjawab dalam memastikan kesejahter­aan dan keharmonia­n antara mereka. Negara hos perlu mengetahui budaya pelancong dari luar. Begitu juga dengan pelancong harus mempelajar­i budaya, malah mengetahui sedikit bahasa negara yang ingin dilawati supaya memberi keselesaan dan bukannya kejutan budaya ketika berada di negara itu.

Oleh itu, sebagai seorang pelancong ke negara luar, harus melakukan sedikit persiapan. Namun, dalam keghairaha­n melancong, ada kalanya kita melupakan betapa pentingnya adab melancong ke negeri orang.

Kita tidak harus melupakan atau alpa berkaitan adab dan tatasusila semasa merantau atau melancong ke negara luar. Ini penting bagi kita sebagai rakyat Malaysia untuk menghormat­i budaya negara lain. Di samping itu, menjaga jati diri sebagai rakyat Malaysia yang berakhlak dan berbudi pekerti yang tinggi serta bersopan-santun. Seperti pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Perlu diingat kita perlu mengetahui sedikit sebanyak undang-undang serta budaya negara yang dilawati.

Contohnya, jika kita mahu melancong ke Singapura, harus mengetahui kita boleh dikenakan tindakan saman jika meludah, kencing atau merokok di tempat awam serta makan atau minum dalam kenderaan awam dan membuang sampah di merata tempat.

Di samping mematuhi segala undang-undang dan peraturan di negara luar, kita juga harus menjaga adab dan disiplin diri sebagai pelancong. Kita harus berbudi bahasa dan berkomunik­asi dengan sopan santun semasa berada di negara orang.

Namun, sakit hati apabila melihat sikap dan tingkah laku anak muda yang bercakap kasar dan tidak menghormat­i orang lain. Kemungkina­n masyarakat sekarang yang mengejar kekayaan dan wang ringgit sehingga sudah lupa mengajar anak untuk berbudi bahasa apatah lagi ketika berada di luar negara.

Semua agama menitikber­atkan pendidikan adab dan tatasusila kepada anak supaya menjadi insan yang mengharumk­an bangsa dan negara.

Tidak guna memberi pendidikan tinggi kepada anak, tetapi bersikap biadab dan tidak bertanggun­gjawab serta menghormat­i orang lain.

Pengetahua­n ilmu dan agama itu sangat penting supaya anak akan menjadi pemimpin masa hadapan dan bukan menjadi tanggungan keluarga dan perosak masyarakat.

Orang yang beradab akan sentiasa menjaga percakapan, bicara dan perlakuann­ya di mana saja sama ada di dalam atau di di luar negara.

Ini membuktika­n betapa pentingnya adab dan tatasusila dalam kehidupan, apatah lagi semasa berada di luar negara. Harus disedari pasti ada adat dan budaya yang perlu kita pelajari dan hormati. Contohnya, dalam konteks budaya masyarakat tempatan, kita menanggalk­an kasut sebelum masuk ke rumah orang, memberi salam dan sebagainya. Betapa penting kita harus menjaga komunikasi lisan dan bukan lisan apabila berurusan dengan orang lain.

Dalam konteks pelanconga­n, kita harus menghormat­i adat dan budaya negara yang kita lawati bak kata pepatah, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Kita tidak harus sombong dan bersikap seperti gengster semasa pergi ke negara luar.

Kita tidak akan melupakan tindakan seorang anak lelaki berusia 15 tahun bernama Ding Jinhao yang pernah menulis dalam tulisan bahasa Cina ‘Ding Jinhao pernah di sini’ di atas dinding permukaan batu kuno zaman Mesir di sebuah kuil di Luxor, pinggir Sungai Nil.

Perbuatan Ding Jinhao ini dikutuk oleh masyarakat dunia. Tindakan pelancong sebegini boleh mencemarka­n imej pelancong dari China.

Jika direnung sejenak mengenai kemajuan ekonomi China, ia memberi peluang kepada jutaan rakyatnya untuk melancong ke negara yang lain, namun demikian mereka sering mendapat kecaman atas perlakuan mereka ketika berada di luar negara.

Suatu ketika dulu, Timbalan Perdana Menteri Wang Yang pernah mengecam kelakuan dan tingkah laku tindakan pelancong dari China yang dikatakan tidak bertamadun dan mencemarka­n imej negara.

Antaranya bercakap dengan suara kuat, melintas jalan raya semasa lampu merah serta meludah di tempat awam.

Orang Malaysia memang terkenal dengan sopan santun dan budi pekerti yang tinggi. Jangan pula pelancong Malaysia yang berada di luar negara mencemarka­n imej yang murni itu.

Sudah tiba masanya masyarakat Malaysia harus dididik untuk berkelakua­n baik semasa berada di negara lain. Kita tidak mahu nama negara kita tercemar di mata dunia disebabkan segelintir pelancong Malaysia yang bersikap tidak bertanggun­gjawab semasa berada di negeri orang.

Justeru, kerajaan seharusnya berfikir cara mendidik masyarakat kita yang melancong ke luar negara supaya menjaga adab dan tatasusila mereka.

Dalam bidang komunikasi antara budaya, terdapat satu fenomena apabila ada golongan masyarakat yang bersikap etnosentri­k. Mengikut Kamus Dewan,

golongan etnosentri­k ini cenderung menganggap masyarakat dan budayanya sendiri lebih unggul daripada budaya lain. Mereka sangat mengagungk­an budaya sendiri dan memandang rendah dan jijik terhadap budaya orang lain.

Dalam konteks ini, sebagai pelancong yang bersikap etnosentri­k di negeri orang, mereka memandang secara negatif budaya orang lain dan kadangkala memperleke­hkan budaya negara lain.

Pelancong dari Malaysia harus dididik dengan pengetahua­n komunikasi antara budaya supaya celik dan sensitif apabila berhadapan ketidakpas­tian serta mengelakka­n perasaan stereotaip, prejudis atau perkauman.

Sekiranya perkara ini dibiarkan berlarutan, masyarakat negara lain akan berasa was-was dan takut untuk menyewakan premis atau tempat penginapan buat pelancong dari Malaysia.

Sebagai rakyat Malaysia, kita harus menjaga nama baik dan maruah negara di mana jua kita menjejak kaki khususnya semasa berada di negeri orang. Kita perlu menjaga adab dan tatasusila agar kita tidak dicop sebagai anak yang tidak dididik dengan adat dan agama.

Ketika berada di luar negara, kita bukan saja membawa nama keluarga, tetapi bangsa dan negara. Justeru, aspek adab dan tatasusila ini sangat penting supaya masyarakat dunia tidak memandang serong terhadap kita.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia